Tuesday, February 15, 2011

Salam Maulidur Rasul


Kerinduan kepada Baginda dan kecintaan kepadanya.. Maka bersegeralah berangkat samada dalam keadaan senang atau susah.
Kembalikan fitrahmu kepada ketaatan sebenar kepada Risalah yang dibawa Baginda..
Itulah nikmat Islam
Rasulullah amat mengasihi umatnya.. sehingga itulah satu-satunya perkataan yang terpacul pada bibir baginda sebelum malaikat Jibril menarik nyawa baginda
Ya Rasulullah
Betapa diri kami amat memerlukanmu
Solawat, sunnahmu
Benar-benar pengubat rindu kami kepadamu
Sungguh Allah Maha Mengasihani
Dengan solawat
Kami jadi lebih harap untuk bertemu denganmu kelak
Dengan syafaat mu kami nantikan
Agar langkah kami kelak
Rahmat buat menduduki syurgaNYA
Kami merinduimu
Kami impikan belaianmu
Teguranmu
Tarbiyyahmu
Kami ingin menatap wajah suci Rasul
Pencinta kami sepanjang hayat
Kekasih Agung Allah SWT
Kami ingin bercerita denganmu
Kami ingin menangis bersamamu
Kami ingin tersenyum bersamamu
Kami ingin damai tenang bersamamu
Kami cinta dirimu
Sepanjang hayat kami
Kami sentiasa mengingati
Menanti dan mengharap pertemuan denganmu kelak
Moga Allah meredhai impian kami

Salam Maulidur Rasul 1432H
Buat Pencinta Nabi Junjungan Muhammad SAW



Friday, February 11, 2011

Bagaimanakah Berkasih

Ana terpanggil untuk berkongsi tentang satu peristiwa yang ditunggu-tunggu tanggal 14 Februari ini.

Kononnya Hari Memperingati Kekasih.

Ana kira menjadi kesempatan, ditunggu oleh sang perindu melampiaskan rasa kasih dan cinta kepada pasangan mereka.

Dan,

Bagi yang berpegang kepada akidah islam, bagaimana kita menanggapinya?

Ganti Kelas

Sesekali ana diminta menggantikan ketiadaan guru dalam subjek tertentu dalam kelas.
Kesempatan ini ana akan gunakan untuk bercerita dengan anak-anak murid. Hari itu Tentang,

Kemerosotan nilai kasih sayang.

Tergamaknya membunuh nyawa si kecil yang tidak berdaya. Dibuang sesuka hati. Ke tempat menjijikkan.

Ibu bapa yang berpenat lelah membesarkan anak-anak. Namun, dewasanya anak-anak itu, berjauhan mereka dari sisi ibu bapa. Terfikirkah ibu bapa mandiri anak-anak mendirikan solat apabila lepas dari jagaan mereka?
Atau, masihkah ada secebis ingatan tentang anak yang membesar dan kini membawa diri itu sebenarnya tahu atau celik dengan solat? Betulkah bacaan Al-Fatihahnya?

Adanya dikalangan saudara terdekat atau sahabat-sahabat yang masih jauh cara berpakaiannya dengan syariat. Sejauhmanakah kasih sayang kita kepada mereka sehingga kita sanggup menasihatinya untuk kembali kepada syariat?

Pasti hadir doa dan ingatan buat saudara seiman kita yang sedang bertarung nyawa untuk menuntut kebebasan seperti di Mesir dan Tunisia?

Cuba kita renungkan kembali. Cinta kita itu adakah membawa kita kembali ingat kepada Allah SWT.

Sebagai contoh, kita sayang kepada keluarga kita. Dengan titipan rasa itu, sehingga kita konsisten mendoakan kesejahteraan buat seisi keluarga walau jauh di mata. Kita serahkan mereka kepada Allah di dalam pemeliharaanNYA. Kebergantungan kepada Allah menjadikan kita beristiqamah mendirikan solat dan amal soleh.

Begitu jugalah kasih kita kepada sahabat-sahabat, anak-anak murid, saudara seiman di serata dunia dan sesiapa jua bersama-sama kita. Tidak sampai hati meninggalkan senarai nama yang tertahta di hati ini. Setia tersemat dalam hati kita kepada mereka.

Semuanya atas nama cinta. Berlandaskan kepada Redha Allah SWT..

Jernihkan Kembali

Maka, marilah jernihkan kembali pengisian dan curahan perasaan ini dengan cara yang diredhai Allah SWT.

Kita diberi nikmat kasih sayang, syukuri dengan menyambung kembali silaturrrahim sesama kita.

Perbanyakkan doa dan kebaikan buat saudara kita. Buat Nabi Junjungan SAW dan para sahabat..

Belai dan peluklah mereka.

Jabatlah kembali huluran persaudaraan dan saling bermaaf-maafan.

Tanyakan khabar mereka.

Carilah mereka yang sudah lama tidak bertamu dihadapan mata.

Janganlah terlalu asyik dengan amukan rindu dendam dengan pasangan teman wanita/lelaki masing-masing.

Pertahankanlah kesucian kasih sayang itu dengan bijaksana.

Hindari zina, sangka buruk, umpat dan caci.

Sertailah kembali pertemuan keluarga.

Bergabunglah kembali dengan jemaah yang sudah lama ditinggalkan.

Binalah mahligai rumahtangga dengan acuan mawaddah, sakinah dan rahmahNYA..

Binalah persahabatan yang sentiasa saling ingat-mengingati kepadaNYA..

Apa jua caranya..
Berkasih sayanglah demi redha Allah SWT.. Bukanlah caranya dengan meraihkan Valentine Day itu.

Semaikan keyakinan,

Agar di penghujung hayatmu, kau pergi dengan senyuman manis bertemu Kekasih Dengan HATI Sejahtera.

Bukankah ini yang kita inginkan?

Kerana Kematian pasti menjemput.

Segarkan pandanganmu..

Moga Allah SWT melapangkan hati kita untuk sentiasa mengingatiNYA, bersyukur dengan segala nikmatNYA dan beribadah dengan ikhlas kepadaNYA..

Thursday, February 10, 2011

Bisikan Cinta Buatmu

Dia memberitahuku
"Apalah sangat ujian dan kesusahan yang menimpa diriku"
Andai dinisbahkan dengan kesusahan dan kesengsaraan pejuang dahulu
Daku mengangguk setuju

Ku mengiyakan
Tidak lekang kata-kata itu menusuk fikiran
Berfikir tentang ZatNYA
Mengamati Nama-Nama INDAH

Dia
MAHA KAYA
MAHA MENDENGAR
MAHA MENGASIHI

Daku, sahabatmu
Memahami keadaanmu sayang
Tentang keberadaanmu
Membongkar hikmah tabiyyah buat dirimu
Ku tak mampu

Hanya lewat pertemuan itu,

Ku sedar,
Ingin ku katakan,
Allah sentiasa mengasihimu
Yakini betapa MAHA 
Allah SWT 

Kau katakan dengan keadaanmu,
Daku juga ingin ungkapkan,
Dengan ujian yang kau kira tidak seberapa itu,
Dirimu sentiasa dinantiNYA
Untuk merintih,
Berharap,
Berpaut,
Dan meminta

Maka,
Jangan kau mengecil-ecilkan 
Apa yang melanda dirimu
Moga dikau sejahtera di dalam naungan rahmahNYA

Ku kirim bisikan cinta,
Buatmu wahai sahabat..
Biar hati kita terpaut
Bukan kerana bersua muka sentiasa
Ingatan tulus
Dalam doa dan sujud
Ku cinta dirimu keranaNYA

Wednesday, February 9, 2011

Kuasa disebalik kudrat

Ana dapati suatu kata-kata di ruangan Facebook Umi Faridah,

"Yakin bahawa Allah mahu kita belajar sesuatu dari setiap peristiwa dan takdir yang berlaku-agar kita menjadi lebih baik dari sebelumnya. Walau pahit yang perlu dilalui pasti ada 'mesej indah' yang ingin disampaikanNya ...kerana itu bersegeralah kembali kepadaNya... pasti kebahagiaan hakiki menanti di hujung sana..."
Kerana perjalanan hidup di dunia sementara ini tidak seperti yang selalu kita harapkan. Seringkali hadir batu-batu kecil menyebabkan langkah kita terhenti.  Tersembam. Sakit yang amat dirasakan.
Ketika itu hanya rahmatNYA.. melalui kekuatan iman dan taqwa pelampung kita untuk bersabar dan bertahan. Bersabar sabar sabar dan sabarlah.
Di sebalik setiap kesusahan yang datang, janganlah pernah mengalah. Sebaliknya, kuatkan pautanmu kepada tali doa dan tawakkal kepada Allah SWT.
Kecintaan kepada risalah kebenaran yang disampaikan Nabi junjungan Rasulullah SAW mesti diteruskan walau dalam usaha yang paling minimum sekalipun. 
Kesusahan yang kita alami pada masa lalu, kini dan akan datang tidak pernah dapat menandingi kesusahan yang dilalui semasa Rasulullah dan para sahabat dahulu. Bagaimana Saidina Ali ketika itu seorang remaja yang masih sangat muda begitu berani menggantikan dirinya di tempat tidur baginda, ketika baginda Rasulullah diperintahkan oleh Allah SWT untuk berhijrah. Ketabahan Asma' Abu Bakar menghantar makanan buat ayahanda dan Rasul yang dicintai, sedangkan Rasulullah ketika itu sedang aktif diburu oleh kaum kaffir musyrikin.
Dan jangan pula mudah dibuai keseronokan dan keselesaan, kerana dikhuatiri menjadi asbab kepada kelalaian kita kepada perintah Allah SWT. Menebal sifat sukakan benda-benda mahal, suka bermewah-mewah sehingga menyemai subur sifat-sifat mazmumah seperti takbur, suka memandang hina dan meninggi diri. 

Fitrah sebagai hamba
Hakikatnya, kita hanyalah hamba Allah SWT. Terimalah fitrah ini dengan jiwa hamba. Yang tidak punya apa-apa. Yang sehayatnya berkehendak kepada Allah SWT sepertimana dalam firmanNYA yang berbunyi
"Wahai manusia, kamu fakir (berkehendak) kepada Allah dan Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji"
                                                                                   (Surah Faathir: 15)

Ingatlah, setiap kebaikan yang kita lakukan, jangan pernah mengingatilah lagi. Kembalikanlah semula kepada Allah SWT. Semua nikmat dan anugerah yang kita dapati itu adalah kurniaan Allah semata-mata. Kekuatan dan kebolehan itu hakikatnya jua kurniaan Allah SWT. Maka janganlah merasa diri bangga tatkala kita berjaya memperoleh sesuatu kejayaan.
Andai jua apa yang kita beri atau lakukan, namun tidak menampakkan hasil yang kita ingin lihat, maka belajar menilai keikhlasan hati. 
Anda berjaya menaikkan peratus pencapaian kejayaan anak-anak murid dalam peperiksaan mereka, namun orang lain pula yang mendapat Anugerah Guru Cemerlang tahun itu. Siapa yang lebih layak? 
Maka, ketika orang lain tidak menghargai sumbangan kita, adakah kita redha atau tidak puas hati?
Nilailah kembali keikhlasan hati, apakah tujuan kita sebenarnya?
Perhatian duniawi atau kerana redha Allah?
Kuasa Di Sebalik Kudrat
Ana yakin dan percaya bahawa dengan niat yang tulus kerana berkehendakkan redha Allah, pasti Allah akan mengurniakan petunjuk kepada hamba-hambaNYA yang bertaqwa. 

Semaikan kemahuan yang kuat, dan sentiasa berikhtiar mencari jalan. KEMAHUAN pasti akan menghasilkan KEMAMPUAN.

Cekalkan hati..

Walau diri dihimpit dengan kesusahan, berkat niat yang tidak berbelah bahagi, pasti akan muncul kuasa di sebalik kudrat.

Sepertimana Allah SWT berfirman dalam Surah Al Baqarah ayat 284 yang berbunyi
"Allah SWT tidak memberikan beban yang tidak mampu ditanggung oleh hambaNYA. Ia mendapat pahala dari kebaikan yang dilakukannya dan ia mendapat siksa dari kejahatan yang dilakukannya"

Oleh itu, ingatlah bahawa perjalanan di dunia fana ini bakal berakhir. Penuhilah masa-masa lapang ini dengan kebaikan dan amal soleh. Membaca, memerhati, menginsafi, menangisi dan menyesali dosa-dosa selama ini.

Bantulah agamamu. Tegakkan kembali syiar mulia ini. Gabung dirimu kembali dengan indahnya hidup dengan islam...

Wallahua'llam






 

Friday, December 24, 2010

TQ Mas!

"What we need in the face of adversity, is a smile. When one smiles, you show to people that you BELIEVE. And when you have the belief, people too will share the same optimism. When belief is in the air, then it can only help you in whatever struggle you face in life."

These are the words of wisdom I took from a person named Dr. Mas Afzal Masaruddin who had returned to Allah last 17 December 2010.

A very special one i thought. A person i never know in my life but now has turned into VIP (very important person) in my life. I only recognised him  from the blog of my favourite one. SubhanaAllah. He left very invaluable wealth to us all.

He teaches me a lot through his awakening words in his blog. http://www.masafzal.blogspot.com/

Gives me wisdom and wonderful perception to make me tougher in this temporary life.

But now, he is no longer here. Let's pray for his happiness there.

P/S: Just a sharing about this one of Allah's servant. Many thoughtful matters we can gain to be applied out in this fragile life.

Kita. 1431H & 1432H.

1431H sudah melabuhkan tirainya lebih kurang 2 minggu yang lalu. Kini, kita memasuki 1432H. Alhamdullillah..

Di kesempatan ini, ana mengajak kalian pembaca yang dirahmati Allah SWT agar bermuhasabah diri kembali.

Mungkin, dengan membuat analisis ringkas seperti SWOT - Kekuatan (Strength), Kelemahan (Weakness), Peluang (Opportunity) dan Ancaman (Threat).

Kekuatan

Apakah kekuatan kita? Jika memiliki pekerjaan yang baik, pendapatan yang agak lumayan, bagaimanakah kita membelanjakannya? Sedekah: Pemberian kepada ibu bapa, adik-beradik atau sesiapa di sekeliling kita?

Andai memiliki kereta, ke manakah hala tuju selama setahun ini?

Shopping?

Berjalan-jalan, melepak?

Majlis-majlis ilmu?

Program-program kemasyarakatan?

5 perkara sebelum 5 perkara

Sihat sebelum sakit - Dengan nikmat kesihatan, adakah kita sentiasa iltizam dan istiqamah menjaga ibadah harian?

Muda sebelum tua - Dengan usia yang menjangkau, apakah yang telah dilakukan selama setahun ini? Adakah masih dengan rutin yang sama, tanpa peningkatan dan pembaharuan?

Kaya sebelum miskin - Apa persediaan yang telah dilakukan untuk perancangan di masa depan? Adakah kita sudah mula menabung?

Lapang sebelum sempit - Bagaimana kita mengurus diri? Masih dengan sikap suka bertangguh? Atau masih lalai menilai perkara-perkara mengikut keutamaan?

Hidup sebelum mati - Paling mustahak, persediaan untuk meninggalkan dunia ini.. Bagaimana kesudahan usia kita di dunia ini? Baik atau buruk?

Kelemahan

Mungkin kita boleh memeriksa kelemahan diri melalui perkara 5 seperti di atas. Dan semua itu bagi ana menyentuh pengurusan diri kita. Bagaimana kita mentadbir kesemua LIMA nikmat itu. Apakah kita sedar kini, kita sedang memperbaiki diri? Ke arah iman dan taqwa kepada Allah SWT.


Peluang

Apakah peluang-peluang yang muncul sebagai pelampung untuk terus menggagahi cabaran, rintangan dan ujian menanti pada hari-hari seterusnya?

Sebagai contoh:

Bagi yang masih belum mendirikan rumah tangga, inilah peluangnya untuk bergiat lebih aktif. No matter what you are into.

Jika sudah berkahwin, ana fikir, akan banyak perkara yang "tercalon" menjadi kekangan untuk kita bergerak kelak.

However, being married should not become the big excuse for us not to realize whatsoever our dreams.
Never ever forget your other commitments once you're belonged to your husband (For those you're engaging themselves with da'wah)

Ancaman

Kita wajar memerhati dan berfikir.Melihat ahli-ahli keluarga, sahabat disekeliling kita?
Agak-agaknya, bagaimana keadaan mereka?Apa khabar iman anda dan mereka?
Adakah mereka adalah golongan yang teguh dengan cara hidup islam yang sebenar?

Wajar jua kita memantau anasir-anasir yang cuba mengacau kesejahteraan iman dan taqwa di hati.


Terakhir

Mudah-mudahan dengan persoalan-persoalan di atas, mencetus suatu anjakan kepada paradigma baru untuk kita membentuk landasan baru menempuh kehidupan di dunia ini.

Ana mendoakan Tahun Baru 1432H ini adalah Transformasi Yang Lebih Proaktif, Efektif dan Penuh dengan Kebahagiaan Walau Dalam Pelbagai Mehnah dan Tribulasi.

Teruskan mendalami ilmu. Amalkan dan hayati sebagai tata cara hidupmu.


A New Year, 1432H/2011M

Wednesday, December 15, 2010

Ranau.. Inginku Kembali Lagi

Mungkin ana boleh dikatakan  individu yang jarang-jarang berpergian atas nama melancong!

Lebih-lebih lagi musim cuti sekolah kini. Ana pasti inilah hari-hari yang patut diisi dengan pelbagai agenda berupa percutian, perkahwinan, mengikat pertunangan, meluangkan masa bersama keluarga dan sebagainya.

Menatap status sahabat-sahabat di Facebook, tercuit keinginan untuk berkongsi pengalaman bersama mereka.

Namun, diri ini hanya mampu bersabar.  Kesempatan begini diisi dengan ingatan dan muhasabah tentang kenangan yang tercipta hampir setahun 2010 ini.

Kali ini, ana akan mengabadikan pula tentang pengalaman awal November yang lepas.

Istimewa Di Hati

Pada suatu  hari, seorang sahabat mengajak ana  menemaninya mengiringi pelajar-pelajar Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) ke Ranau,.

Hemm.. ana tidak mengambil masa yang lama untuk bersetuju. Dalam hati ceria mengatakan Yes!! Ranau?? Wah...

Kerana ana meminati cuaca di Ranau. Pada hemat ana, tempat yang sungguh istimewa. (Setakat ini - Al-maklumlah jarang-jarang berjalan)

Antara beberapa destinasi yang kami lawati, bermula di Kg. Luanti Baru (ikan-ikan yang dikatakan boleh mengurut? Wallahualam. Ana tidak sempat mencubanya), seterusnya ke Ladang Teh Sabah. Bersambung pada hari ke-2 di Poring, Ladang Lembu Mesilau dan berakhir di Taman Kinabalu.

Antara semua tempat yang kami lawati, ana tidak mungkin melupakan suasana di Poring.

Apa yang menjadikan Poring menjadi destinasi pilihan mungkin kerana air panasnya.. seronok mandi-manda?

Namun, kerana ana tidak merasa kesempatan ini, maka ana berkongsi pengalaman yang berbeza hampir dua jam setengah di sana.

Rombongan kami adalah antara yang terawal sampai di Poring. Lebih kurang jam 8 pagi!

Peserta yang lain terus mengambil kesempatan untuk bersiap mandi. Kami, antara 4 orang guru pengiring sebaik bersarapan, segera menyusun langkah meneroka tempat ini.

Aktiviti pertama kami ialah mendaki bukit setinggi 475m untuk berjalan di jambatan kanopi. Sungguh ana sebenarnya agak takut dengan ketinggian. Gayat! Penat juga mendaki dengan sandle bertumit rata 2 inci.

Seterusnya kami berjalan mendaki bukit pada ketinggian lebih 300m  untuk sampai ke Air Terjun Kopungit.

Di sini, ana menemui kenikmatan yang tidak terungkap.

Hampir 50m sebelum sampai ke air terjun yang dimaksudkan.. kami sudah terdengar sayup-sayup deruan air sungai.

Rasa tidak sabar segera sampai ke tempat ini.

SubhanaAllah...

Sesampai di sana, segera menanggalkan sarung kaki dan sandle.. menyentuh air sungai ini.

Terbit Rasa

Lama ana memerhatikan suasana sekeliling, mengamati setiap kejadian. Air terjun yang sangat mengujakan. Airnya yang sungguh sejuk menyegarkan. Batu-batu besar dan kecil. Pelbagai saiz dan bentuk. Tumbuhan hijau.. Hijau yang benar-benar menyejukkan  pandangan  mata ini.

Ana berasa aman, tenang dan bahagia seketika.

Segera teringat dengan ayat-ayat cinta Illahi yang berbunyi,

"Iaitu Syurga Adn,  mereka itu masuk ke dalamnya, sedang air sungai mengalir di bawahnya, untuk mereka itu di dalamnya apa yang mereka kehendaki. Demikianlah Allah membalas orang-orang yang bertakwa.”
                                                                              (Surah An-Nahl : Ayat 31)

Menyuntik inspirasi di sanubari.

Segera memaculkan pujian dan kekaguman  dengan Kebesaran Ciptaan Allah SWT.

Lafaz-lafaz zikir memujiNYA.

Bagaimana rasa bahagia dan kenikmatan yang masih segar ana rasakan hingga hari ini.

Menghayati suasana damai air terjun dan kesegaran di sana.

Kejernihan air sungai.

Ana berfikir sebenarnya, setiap kali syurga dibicarakan di dalam ayat-ayatNYA, Syurga dengan air sungai yang mengalir di bawahnya..

Apabila ana kaitkan kenikmatan syurga dengan air terjun di Poring, kerana air seringkali dikaitkan dengan ketenangan. Kebahagiaan.

Ada sesetengah di antara kita akan pergi ke laut. Bermacam aktiviti dilakukan.

Berkhemah dan  memancing di sungai.

Kita menenangkan diri juga dengan air.

Namun, keindahan  air  sungai yang sering disebut-sebut dalam syurga itu  adalah kenikmatan yang sudah Allah janjikan bahawa ianya adalah keistimewaan yang tidak pernah disaksikan oleh kita selama berada di dunia fana ini.

Keindahan yang dirahsiakan dan suatu kejutan yang pasti INDAH.

Bakal disaksikan oleh penghuninya nanti.

Sebaliknya, semua rasa  manis yang Allah anugerahkan semasa ana berada di Air Terjun Kopungit ketika itu sudah tentu tidak akan mampu menandingi kemewahan rasa di syurga kelak.

Kalau ana sudah merasa saat-saat yang begitu mempesonakan hati ini, bayangkan pula hanya kebahagiaan  sahaja yang selayaknya dikecapi oleh hamba-hamba pilihan  istimewa di sana nanti.

Singkatnya meneroka rasa-rasa indah di Air Terjun Kopungit, tidak ingin ana membawa langkah ini pergi meninggalkan.

Apa lagi..

Andai syurga bakal menjadi perkampungan abadi kelak nanti.

Sepuas-puasnya.

Selama-lamanya.

Tiada kebosanan merasai anugerah  ini.

Menatap dan menyingkap rahsia air sungai yang mengalir itu.

Pastinya pemandangan yang cukup ana yakini tidak pernah akan menandingi persaksian indah rasa di Air Terjun Kopungit dan mana-mana tempat jua yang kita senaraikan tempat-tempat paling cantik yang pernah dilihat, didengar dan dialami sendiri.

Hanya doa, pujian dan keharuan mampu ana lahirkan ketika itu.

Sungguh. Ana terlalu kerdil di sisiNYA untuk mengatakan dan merasai pengalaman ini.

Rasa diri ini tidak layak untuk syurgaNYA.

Hanya mampu berharap .. berharap dan terus berharap dengan mengislahkan diri.

Doa moga kenikmatan ini tidak akan berakhir di tempat ini.

Moga Allah SWT akan sentiasa memilih insan berjiwa hamba ini untuk merasai sekali lagi pengalaman  ini.

Moga diberikan hati yang sentiasa mensyukuri setiap kejadian  yang diciptaNYA.

Akhirnya, musafir kami di Bumi Ranau hari itu sampai ke penghujungnya pada petang sabtu, 6 November dengan perasaan berat hati. Namun syukur berpanjangan hanya kepadaNYA dengan kesempatan berharga ini.

Semoga Allah SWT sentiasa menjaga hati-hati ini untuk terus mengharapkan rahmatNYA meneruskan sisa-sisa usia di dunia dengan keinsafan yang tinggi menunggu seruan kembali ke pangkuanNYA kelak. InshaAllah