Showing posts with label Diari Karier. Show all posts
Showing posts with label Diari Karier. Show all posts

Tuesday, October 25, 2011

Anak Muda & Semangat Juang

Assalamua'alaikum wbt..

Alhamdullillah.. agak lama tidak mengemaskini blog ini. InshaAllah mudah-mudahan usaha yang tidak seberapa ini akan berterusan dan mendapat keberkatan daripadaNYA.

Kali ini ana  ingin berkongsi tentang pemerhatian ana tentang diri anak-nak muda terutamanya pelajar ana sendiri.

Menjadi pendidik pada zaman ini, ana akui sangat hebat cabarannya. Berada di kelas, pelbagai gelagat dan karenah anak-anak murid. Ada masanya, bahagia dan gembira mendidik mereka apabila menunjukkan tingkahlaku yang sejuk hati memandang mereka, dan diselang-seli pula dengan kecewa, sedih, marah dan lain-lain. 1001 rencam rasa menjadi guru!

Namun, ana melihat golongan pelajar di sekolah seakan kehilangan semangat untuk berjuang.

Ana beri contoh paling mudah, di sekolah ana, pada awal tahun kebanyakan pelajar betah datang ke sekolah, mempamer kesalahan disiplin minimum. Tidak banyak memeningkan kepala.

Masa berlalu, tiba pertengahan tahun sehingga ke detik-detik peperiksaan penting, di sinilah pelbagai penyakit akan keluar.

  • Malas hadir ke sekolah (terutamanya hari Isnin dan Jumaat)
  • Kerja rumah tidak disiapkan (setelah berbulan-bulan diberikan, masih ditinggalkan kosong)
  • Ponteng kelas/sekolah
  • berhenti sekolah (terutamanya pelajar perempuan kerana berkahwin)
  • Malas belajar
  • Dating

Pendek kata, pelajar masa kini perlukan ketahanan daya juang yang tinggi untuk terus konsisten menggagahi perjuangan ini. Jika tidak, mereka menempah tiket keciciran dan terus hidup berselimutkan kemunduran dan kepayahan.

Ana berkata kepada pelajar "mungkin terlalu banyak dosa guru-guru sehingga para pelajar tidak lagi mengendahkan nasihat gurunya kan?"

Sedih, saban hari ana perhatikan semakin banyak kerusi kosong di kelas menunggu empunya diri mendudukinya. Seperti tidak kunjung tiba lagi. Bagaimana agaknya keadaan anak-anak murid itu sekarang?

Apakah nilai pendidikan ini sudah jauh rendahnya berbanding melayani sifat malas dan inginkan keseronokan segera ketika ini bagi mereka?

Sedih melihat kedatangan ke sekolah tidak memberi sebarang impak positif kepada mereka. Tidak kelihatan sinaran mata dengan nyalaan semangat berkobar-kobar inginkan kejayaan. Semuanya hanya suka-suka, remeh-temeh dan mudah-mudah.

Hebat cabaran membina hati-hati mereka agar berjiwa besar!

Sangat beruntunglah keberadaan mereka di institusi-institusi pendidikan yang mensyukuri ruang dan peluang ini sebaiknya. Apakah peluang itu?

Institusi pendidikan seperti universiti menempatkan para golongan intelek yang memiliki citra  ilmu dan idealisme. Mendampingi, mendengar, berjumpa dengan mereka pasti sedikit sebanyak menyuntik pelbagai bentuk kesedaran: Sebagai contoh ana masih ingat seorang pensyarah ana yang berbangsa cina. Seorang yang sangat bersemangat. Tidaklah ana mengenali beliau dengan mendalam, tetapi cukup mendengar kuliah dan bertemu dengannya memperlihatkan kesungguhannya untuk sentiasa memberi yang terbaik. Ana fikir, kadang-kadang cukup dengan menilai tindakan dan personaliti seseorang itu sudah dapat mencetuskan muhasabah diri untuk membuat koreksi pada diri. Buang sifat yang buruk dan ubah kepada yang lebih baik!

Saya bersyukur dengan pengajian di Universiti Malaysia Sabah (UMS) sesi 2005-2009 membuka mata dan hati  untuk memperbaiki diri. Di sini ana mengenali ramai sahabat yang hebat. Alhamdulillah baru ana menyedari makna keberkatan pada ilmu. Kerana tempat ini merupakan gedung ilmu, ana dipertemukan dengan mereka yang merupakan pejuang dan beridealisme. Paling bernilai ialah menggabungkan diri dengan jemaah yang cintakan agama, cintakan tuhan, cintakan kebaikan seperti ABIM. Variasi program dakwah dan tarbiyyah banyak memberi islah kepada diri untuk terus istiqamah menyayangi dan menjaga nikmat-nikmat yang dikurniakan Allah.

Ana menyedari setiap memori yang masih ana ingat sepanjang pengajian di sana mempunyai nilai tarbiyyah (pendidikan) dan hikmahnya. InshaAllah mudah-mudahan ada ruang lagi untuk ana.

Ana gusar, seandainya para pelajar yang mencicirkan diri mereka daripada sekolah, daripada pendidikan, daripada cintakan kejayaan, mereka tidak mampu melangkah jauh. Paling parah dan menakutkan ialah apabila mereka menutup peluang hijrah untuk menggapai cahaya hidayah, cahaya iman dan taqwa untuk menepis segala macam pancaroba hati nurani.

Dengan persekitaran yang lebih banyak kepada pengabaian hidup bertuhan, berhijrahlah membawa misi suci melakukan islah diri. Kelak, sekembali ke kampung halaman, menjadi pembakar semangat anak-anak muda bangkit merubah diri!

Wednesday, November 3, 2010

Seronoknya jadi cikgu!

Agak sibuk dengan tugasan sebagai pendidik. Lebih-lebih lagi penghujung persekolahan sesi 2010 berbaki seminggu lagi. Kesibukan sebagai guru kelas menuntut pelbagai koleksi tugasan: Mengemaskini segala rekod berkaitan anak-anak didik. Rekod kehadiran, rekod prestasi, rekod disiplin, yuran sekolah sehinggalah kepada membuat susulan salinan dokumen tentang diri anak-anak. Benar-benar menuntut kesabaran!

Alhamdullillah.. terasa belaian dan perhatian kasih sayang kekasih, Allah SWT tatkala ana mula merasakan sedikit demi sedikit kemanisan menjadi seorang pendidik.

Syukur.. ana terpilih menjadi salah seorang warga pendidik. Yang pada mulanya ana memulakan hari-hari di SMK Pitas dengan goyahan dan golakan perasaan yang mencetuskan keluhan acuan adu domba.

Penatnya jadi cikgu!

Stressnya mengajar kelas peperiksaan!

Malasnya mengajar!

Kerana tugas dan amanah ini bukan main-main.

Main-main, maka.. terimalah nanti segala yang tidak syoknya menjadi cikgu.

Mula berubah

Dulunya.. setiap kali kembali ke Pitas apabila cuti-cuti sekolah tamat. Banyak karenah yang dialami. Paling teruk ana kembali dengan badan dan minda yang sangat menjengkelkan. Motivasi yang sangat teruk! Seribu satu alasan tercipta untuk tidak mahu datang ke sini. Mendidik dan mengajar. Kerjaya yang sangat memenatkan.

Ana terfikir bagaimana mungkin ana memotivasikan anak-anak didik sekiranya guru sendiri kurang bermotivasi??


Suatu ketika di usrah.

"Saya setiap kali memulakan langkah pergi bekerja, berniat dahulu semoga hari ini menjadi lebih baik daripada semalam."

Begitulah yang diungkapkan oleh cikgu Milus semasa pengisian usrah Jamuan Hari Raya hari itu.

Hati berdetik.

Sudah puas ana mendengar ungkapan demikian. Sebelum ni masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

Bezanya, ana kadang-kadang saja mempraktikkan nya seawal bermula dengan doa + niat.

Itulah Kuasa niat!

Sejak mendengar ungkapan itu, ana mula mempraktikkannya kembali. Ditambah dengan tips Dr. Fadzilah Kamsah.

Sebelum tidur: Imaginasikan perkara yang best-best tentang apa yang hendak dilakukan esok hari. Sambil berdoa moga-moga hari-hari yang bakal ditempuhi adalah hari-hari yang lebih baik. Juga ana berdoa sentiasa dikurniakan kebahagiaan dan kesejahteraan di hati.

Alhamdullillah dengan doa dan azam untuk bolos daripada kesulitan selama ini, Allah tambahkan lagi dengan satu nikmat di hati.

Iaitu nikmat kasih sayang dan cinta.

Yang selama ini, hati ketandusannya.

Ana memulakan hari-hari bekerja dengan kasih sayang dan cinta.

Kelas 5K

Ana berhadapan dengan pelajar-pelajar Kelas 5 Kemboja.

95% TIDAK BERMOTIVASI
80% MASALAH DISIPLIN
60% MASALAH KEHADIRAN
98% KELAKUAN YANG MENJENGKELKAN

Sungguh! Setiap kali masuk kelas, segala perancangan yang dibuat kebanyakannya akan GAGAL.

Ana pernah menyalahkan mereka.

Tetapi, ana kini tahu masalah daripada diri.

Mengajar... mendidiklah... tegurlah.. nasihatilah... anak-anak didikmu kerana dirimu menyayangi dan mencintai mereka.

Segala-galanya kerana cinta. Bukan kerana benci dan menurut amarah semata-mata.

Alhamdullillah.....

Kenikmatan yang ana rasakan apabila bersama anak-anak didik. Bahagia yang singgah di hati tatkala mengekpresi cinta tika kepenatan dan keletihan, bertemu bersama-sama meluangkan masa untuk melaksana tanggungjawab.

Kelas tuisyen!

Gembira mendampingi anak-anak.

Walaupun dengan..

Bukan perangai yang menyejuk mata. Tetapi, umpama menyimbah minyak tanah pada api!

Kelakuan yang bila-bila masa akan mencetus amarah melihat kelakuan mereka.

Tetapi.....

Jangan menurut perasaanmu.

Rawatlah ia curahan kasih serta nasihat sarat dengan sayang dan cinta buat mereka.

Bagaimana lemah dan tidak motivasinya ana setiap kali english lesson memanggil ana masuk kelas mereka. Ana kuatkan diri jua.

Hari-hari muhasabah diri.

Ana membayangkan, katakan pada diri, saya akan buat yang terbaik hari ini walau apa jua keadaan dan layanan mereka. Itu kata-kata setiap kali memasuki kelas. Terutamanya kelas 5K.

Alhamdullillah kuat niat dan cinta .. Akhirnya sedikit sebanyak membuahkan kemesraan dan kasih sayang. Antara kami.

Nikmat seorang guru

Seronok sekali membaca esei mereka tatkala hati ana benar-benar tersentuh. Jarang-jarang begitu. Rupa-rupanya, Alex benar-benar bercerita tentangnya ayahnya yang strok dan impiannya untuk memperbaiki taraf hidup keluraganya. Dalam esei sebelum ini, Alex bercerita tentang dirinya yang seronok tinggal bersama pakciknya. Tidak sempat ana bertanya. Di mana ibu bapanya. Terjawab dalam esei terbarunya. Malah menambahkan kasih dan sayang terhadapnya.

Alex selama ini selalu tidak hadir ke sekolah. Di tanya, alasan semudah "malas!" sahaja jawapan yang diberi. Banyak kali juga teguran yang ana berikan.. tentang dirinya. Penampilannya. Visi hidupnya. Tentang penyakit malas : Penyakit generasi muda masa kini. Pelbagai leteran lain.

Dan, baru kini ana berfikir tentang dirinya.
Alex kini, sangat segak. Bajunya sentiasa dimasukkan. Kehadiran ke sekolah semakin memuaskan. Kerja sentiasa disiapkan. Dulu, gagal dalam subjek English, kini.. alhamdullillah lulus. Dengan disiplin yang ia perbaiki. (Walaupun ana tidak pasti sampai bila perubahannya, moga dia akan terus konsisten)

Moga berupa perubahan yang ikhlas dan konsisten.

Alex salah seorang daripadanya.

Seronok dan bahagia sekali.

Ana merupakan guru kelas 5K. Kelas paling hujung. Berhimpunnya mereka-mereka yang dikatakan paling nakal, paling tidak pandai dan pelbagai stigma lain tentang kelas hujung.

Hampir 11 bulan bersama-sama mengharung segala bulian anak-anak ini.

Suatu pagi jumaat,

Sarji, pelajar kelas 5K berjumpa ana.

"Teacher, kenapa nama saya kena blacklist teacher? Apa masalah saya?".

Nampak kekecewaan di wajah Sarji.

Ana bersedia mendengar hujah-hujahnya. Ana agak kaget. Apabila dirinya mengatakan,

"Macamana SMK Pitas ni mahu maju kalau orang yang mau belajar diblacklist namanya."

Sarji antara pelajar yang bukan sebarang memberi hamburan kata-kata.
Selalu membantah. Bantahannya ada yang bernas. Lebih banyak loyar buruk. Tapi kali ini, bernas.

Sebenarnya, nama Sarji terpaksa ana blacklistkan daripada senarai pelajar yang terpilih mengikut kelas tambahan pecutan akhir SPM atas nasihat. Memandangkan ada guru lain yang sudi membantu mengajar tuisyen kelas mereka, maka akan ada syarat-syarat tertentu yang terpaksa ana akur. Guru senior ini hanya mahukan pelajar yang mempunyai disiplin yang agak baik sahaja untuk terpilih.

Ana tahu disiplin Sarji tidak begitu memuaskan. Entah mengapa hati ini tetap merasakan pelajar ini berhak untuk diberi peluang.

Dalam senarai tersebut, tentulah nama yang diblacklist itu menjadi perhatian dan tanda tanya. Silap ana, tidak membuat senarai baru. Nama yang diblacklist dengan marker pen berdakwat hitam itu tidak mampu menghijabkan nama tertera Mohd Sarji.

Kasihan.

Tapi.. ana tidak boleh sembarangan menampakkan emosi ini.

Akhirnya, ana memprovokasinya semula dengan persoalan,

"Sekarang ni tidak ada masa lagi kamu mahu tahu kenapa nama kamu digugurkan. Kamu tengok sendiri la dengan diri kamu. Bagaimana adab kamu dengan guru? Kamu study di kelas mcmana? Siapa paling bising dalam kelas kamu?"

Semuanya persoalan provoksi. Untuknya berfikir merenung diri.

"Persoalan sekarang ni, adalah bukan tanya kenapa nama kamu digugurkan. Tetapi persoalan bagaimana kamu mahu berjaya?"

"Kamu mahu kah tidak ikut tuisyen ni?"

"Mahulah teacher." Jawabnya yang masih bersaki - baki dengan rungutan yang sama.

Ana tidak mengendahkan.

"Jadi kamu masuk kelas 5D, ikut kelas teacher nanti." Jawab ana dengan tegas. Sekali gus mematikan perbualan kami disitu.

Sarji terdiam. Merenung dalam mata teachernya ini. Marahnya makin surut.

Ana yang pada mulanya agak cemas. Takut-takut Sarji akan bertindak kasar. Akhirnya, menarik nafas lega.

Mencabar dan tercabar

Sengaja mencabar kesungguhan Sarji dan Mahadi. "Tuisyen esok, pastikan kamu datang sebelum jam 2.30. Jam 2 ada sudah kamu di sekolah." Dengan nada tegas, tuntas dengan kasih sayang.

Sarji menarik nafas. "Ok bah teacher. Tengok-tengok lagi teacher yang lambat nanti. Kita tengok nanti siapa yang datang cepat." Dengan lagak kelelakiannya.

Alhamdullillah.. bahagia sekali ketika mereka hadir semasa kelas petang itu. Jarang-jarang ana melihat kesungguhan mereka menyiapkan drilling yang diberikan. Siap membawa kamus. Tidak terdengar suara-suara bising mereka selama ini.

Terharu melihat Mahadi yang selama ini tidak pernah ana melihat dia bersungguh-sungguh menjawab. Cuma sekali sekala.. seperti cacing kepanasan. Al-maklumlah, tidak pernah senang duduk selama ini.

Geli hati. Bahagia.

Walaupun, ana tahu keadaan begitu tidak berkekalan buat mereka berdua, moga akan hadir sinar Hidayah dan Taufik buat mereka. Doa ana mengiringi sewaktu melihat mereka berdua berjalan kaki pulang ke rumah. Moga Allah mengasihi anak-anak ini.

Tarbiyyah Hati
Pengajarannya adalah jangan pernah membenci pelajar-pelajar yang tidak disukai oleh orang lain. Dekati mereka.. tegurlah.. nasihatilah mereka dengan lemah lembut dan kasih sayang. Layanilah mereka seadilnya. Pelajar yang bermasalah disipiln jangan pernah disisihkan. Jangan pernah serik dengan mereka. Bersabarlah mendidik mereka dengan doa dan kasih sayang.

Seronoknya menjadi guru apabila kita dapat merasakan kasih syang yang mengalir tatkala ana jua merasakan kasih sayang mereka terhadap ana.

Cuti Rehat Khas (CRK) masih berbaki 2 hari lagi. Namun, tidak sanggup rasanya meninggalkan mereka lebih-lebih lagi SPM hampir tiba. Ingin bersama-sama mereka menempuhi cabaran SPM.

Seronok memberi kata-kata perangsang. Dari mata dan senyuman anak-anak. Mereka nampak puas dan gembira. Walaupun, mereka tidak perform sangat dalam subjek English. Cukup bagi ana apabila merasakan mereka tidak patah semangat. Walk up again!

Seronok memberi cinta walau penat dan letih. Melihat mereka bersungguh-sungguh datang menadah ilmu dengan teachernya yang tidak seberapa ini.. Sangat terharu. Menyemarakkan kasih dan sayang di antara kami.

Hikmah bersama anak-anak didik kini. Ana terima mereka seadanya.

Mereka ... Mengajar ana tentang sabar, kasih sayang, empati, tegas dan lembut. Bekalan buat ana memperbaiki diri yang khilaf ini.

Ana sedar perjuangan masih jauh lagi. Cabaran berbagai sentiasa menanti. Akan ada lagi lembaran baru yang akan ana tempuhi masa-masa akan datang. Moga Allah SWT akan sentiasa mengurniakan hikmah dan tarbiyyah yang istimewa menemani diri ini kelak. Hanya Allah SWT tempat ana bersandar dan bergantung harap untuk mendapatkan yang TERBAIK. InshaAllah

Mencintai & menyayangi anak-anak murid sebenarnya sangat menguntungkan. Ana merasakan makin menginginkan cinta Kekasih Agung.. Allah SWT.
SUBHANA ALLAH...

Ya Allah...
Siapalah diri ini di sisiMU
Engkau Maha Membolak-balikkan
hati-hati hambaMU
Yang Engkau kehendaki
Diri ini benar-benar takut
Andai..
Nikmat-nikmat manis iman
Yang Pernah
Yang Sedang
Yang Akan
Kami kecapi
Engkau tarik kembali
Bila-bila kami terlupa akanMU
Bantu Kami Ya Allah
Untuk terus beristiqamah dalam ketaatan
Dalam kasih sayang
Penuhkan piala hati kami ini dengan sifat kasih sayang dan cinta
Kami amat mendahagakannya
Ya Rahman Ya Rahman
Bantu kami Ya Allah......

Thursday, September 16, 2010

He Had Such Quiet Eyes

He had such quiet eyes
She did not realise
They were two pools of lies
Layered with thinnest eyes
To her, those quiet eyes
Were breathing desolate sighs
Imploring her to be nice
And to render him paradise

If only she'd been wise
And had listened to the advice
Never to compromise
With pleasure - seeking guys
She'd be free from "the hows and whys"

Now here's a bit of advice
Be sure that nice really means nice
Then you'll never be losing at dice
Though you may lose your heart once or twice

1968 by Bibsy Soenharjo

Alhamdullillah, syukur didedikasikan hanya kepada Allah SWT kerana dengan limpah rahmatNYA ana masih diberi kekuatan dan kelapangan untuk berkongsi satu lagi penulisan ini.

Kali ini, ana ingin berkongsi satu pengalaman tentang sebuah puisi indah di atas yang cukup bermakna buat peringatan semua. Sejujurnya, ana tidak begitu mengenali siapa penulis ini, sekadar menyingkap sedikit intipati cerita daripada puisi ini. Yang sebenarnya, inilah salah satu puisi yang dimasukkan dalam New Literature Component  For Form 4. Alhamdullillah, Kementerian Pelajaran Malaysia memilih puisi ini sebagai silibus baru dalam pengajaran kesusasteraan dalam subjek english tingkatan 4.

He had such quiet eyes ini sebenarnya mengisahkan seorang budak perempuan yang masih naif yang jatuh cinta dengan seorang lelaki. Jatuh cinta hanya selepas menatap mata lelaki ini. Dari mata turun ke hati, ana bersetuju dengan kata-kata ini tatkala kita boleh jatuh cinta hanya daripada sebuah pandangan daripada sepasang mata. Sepasang mata itu seolah-olah mengatakan kepadanya "datanglah kepadaku", "aku perlukan dirimu", "dirimulah yang aku nantikan selama ini" berbicara betapa diri lelaki ini benar-benar memerlukan teman untuk mengisi kekosongan di hati. Sebuah pandangan yang bersih, suci dan murni seolah-olah dia benar-benar ikhlas untuk melamar wanita ini untuk menemaninya.

Palsu!
Apabila ana memperkenalkan sajak ini kepada pelajar-pelajar ana, mereka tidak mempunyai masalah untuk memberikan maksudnya dalam bahasa melayu. Namun, apabila sampai kepada bait-bait baris setiapnya, ana berperanan di situ. Memberi makna yang praktikal dengan apa yang melanda mereka kini.

Sememangnya, satu tindakan bijak bagi ana apabila sajak ini dipilih, khasnya untuk remaja pula tu. Tingkatan 4. Mereka yang mengalami pelbagai krisis. Ana cuba berterus terang tanpa berselindung lagi dengan budaya couple yang makin tidak terbendung di kalangan mereka. Mungkin tidak membimbangkan bagi sesetengah mereka, namun ana tetap mengatakannya. BERHATI-HATI DALAM PERGAULAN!

Puisi ini nampaknya sangat hangat dan panas. Rata-rata pelajar ana suka dengan topik ini. Ada juga yang seperti cacing kepanasan, tidak senang duduk dengan apa yang ana perkatakan. Ada yang tersenyum, tunduk malu, Tetapi, ana sentiasa merasakan ada seorang pelajar ana yang selalu bersembunyi di sebalik rakan nya, setiap kali ana berbicara nasihat, dia akan mendengar dengan tekun. Tidak tahu apa yang difikirkannya.
 
Maka, apabila budak perempuan yang jatuh cinta, cinta mati, kemaruk dengan si lelaki ini, dia sanggup mengorbankan maruah dan kehormatan dirinya demi lelaki tersebut. Habis madu sepah dibuang, kini selepas mendapat apa diingini, perempuan ini akhirnya ditinggalkan. Barulah dia sedar, alangkah baiknya jika dahulu dia mendengar nasihat mereka yang lain, pasti dia tidak akan menyesal dengan seribu persoalan "hows and whys". Makanya, bicara mata itu adalah palsu dan penuh dengan penipuan.

Be sure that nice really means nice menyegarkan pegangan, prinsip kita. bilamana apabila kita mendapati sesuatu yang baik daripada seseorang : bicara yang sopan, tingkah laku yang beradab, penampilan luaran yang baik, wajah yang menyejukkan mata, semua yang baik ini adalah cermin daripada kebaikan hatinya. Realitikan apa yang dilihat baik itu adalah baik juga natijahnya. Bukan yang sebaliknya.

Mata VS Mata Hati
Sepasang mata yang kita Allah SWT pinjamkan ini mempunyai keajaibannya tersendiri. Mata mampu membicarakan kata hati kita. Sinar mata gembira, sedih, gundah-gulana, mata menggoda. Kadang kala tidak perlu kita mengatakan secara lisan, orang lain sudah dapat menyingkap apa yang kita rasakan. Maka, dalam konteks jatuh cinta, pandangan mata boleh menjadi messenger kepadanya bahawa "aku jatuh cinta padamu pada pandangan pertama".

Maka, berwaspadalah. Sehinggakan dalam hadis Nabi "pandangan mata adalah anak panah iblis untuk menyesatkan kita". Sebab itu, kita mesti menundukkan pandangan apabila dalam pergaulan yang melibatkan bukan sesama muhrim.

Allah SWT berfirman dalam Surah An-Nur Ayat 30,

Katakanlah kepada laki-laki yang beriman supaya mereka merendahkan pandangannya (dari melihat yang terlarang) dan menjaga kehormatannya (dari berzina). Itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka usahakan.

Mengusahakan menilai seseorang dengan mata hati kita dan mata hati miliknya, maka bersihkan dahulu hati ini daripada dosa dan maksiat. Sentiasa memperbaharui taubat. Tetap teguh dan istiqamah dengan amal-amal soleh.


Mampukah iman kita berbuat demikian acapkali kita bersua muka, berbual bicara dengan mereka?


Akhirnya, ana mengakhirkan kelas hari itu dengan membawakan firman Allah SWT dalam Surah AN-NUR, Ayat 26 yang bermaksud:
                                                                                                        
"Perempuan-perempuan jahat untuk laki-laki jahat, laki-laki jahat untuk perempuan-perempuan        jahat pula, perempuan-perempuan baik untuk laki-laki yang baik, laki-laki baik untuk perempuan baik pula. Mereka itu (orang-orang baik) terlepas dari tuduhan yang mereka katakan, untuk mereka ampunan dan rezeki yang mulia"  

Pelajar-pelajar ana yang asyik dengan topik ini akhirnya menggeleng-geleng kepala mengatakan mereka tidak ingin menjadi perempuan/lelaki yang jahat yang akan mendapat pasangan yang sekufu dengan mereka kelak.

Semoga akan terjentik hati-hati individu insan agar kembali kepada pegangan dan prinsip yang bersih berteraskan sunnatullah daripada sesi pengajaran dan pembelajaran pada hari itu. Insha Allah