Assalamu’alaikum
wbt..
Apa
khabar imanmu wahai sahabatku?
SubhanaAllah..
Alhamdullillah.. ana menghadiri majlis ilmu <Usrah> rabu yang lalu. Hari yang
sungguh-sungguh benar memuhasabahkan hati ini di tengah-tengah ribut
didalamnya. MasyaAllah, masalah hati dan perasaan yang mengekang sebelum ini
terasa lapang. Menghadiahkan ana kekuatan, sikap dan pendekatan baru untuk berdepan
dengan cabaran, masalah yang menyelubungi dan menanti di hadapan.
Alhamdulillah..
Alhamdullillah.. Alhamdullillah..
Usrah
hari ini mengupas Tafsir Quran iaitu Surah At-Takathur, yang bermaksud
berlumba-lumba. Surah ini mempunyai 8 ayat dan merupakan surah Makiyyah.
Alhamdullillah ana diberi peluang untuk membentang sedikit perkongsian kali
ini.
Apa
yang menarik hati ana ialah kata-kata daripada Syed Qutb “kehidupan dunia
yang sekilas itu berakhir dan menutup lembaran yang pendek. Dan selepas itu,
zaman terus melanjut bersama bebanannya yang bertambah berat.”
Demi
Masa! Allah Bersumpah. Masa kita panjang atau pendek? Umpamanya menunggu
sesuatu atau seseorang. Seringkali kita mendengar, penantian itu suatu
penyeksaan. Mengapa? Apa yang dinantikan itu lama benar bukan?
Atau
bagaimana pula dengan saat-saat yang menggembirakan? Dirasakan seolah-olah
begitu cepat penghujungnya tiba, setuju?
Seandainya
masa boleh ditahan-tahan, dirunding atau diundur kembali, akibatnya kita
mungkin menjadi manusia yang sentiasa bermimpi, tidak realistik dan hidup
serba-serbi terpedaya dan alpa.
Berbalik
kepada Surah ini, ayat 1 dimulakan dengan peringatan terus daripada Allah SWT “Kamu
telah dilalaikan oleh perlumbaan (membanyak harta benda dan anak-anak)” dan
seterusnya ayat 2 “Sehingga kamu masuk ke dalam kubur.”
Ibnu
Kathir menyebut “Kamu telah dilekakan dan disibukkan oleh kecintaan terhadap
kemewahan kehidupan dunia daripada membuat persediaan untuk menghadapi alam
akhirat. Kealpaan itu begitu ketara
sehingga kamu diterpa oleh kematian secara mengejut dan di luar jangkaan kamu,
lalu kamu datang mengunjungi kubur dan tinggal disitu dalam jangka masa yang
ditentukan.”
Perbincangan
hari itu benar-benar mengetuk hati dan minda kami yang berada dalam bulatan majlis ilmu.
Betapa meneruskan kehidupan dalam zaman yang penuh dengan kebejatan di sebalik
kenikmatan ini sebegitu mudah melalaikan, menggelincirkan niat ikhlas, matlamat
dan kesedaran serta ingatan kepada Allah SWT.
Kebetulan,
beberapa anak-anak muda remaja mengikuti usrah kali ini. Apabila ditanya apakah
cinta dunia? Mereka belum dapat menghadamnya secara matang lagi.
Cinta
dunia, ana menganalogikan dengan gadget
seperti handphone. Contohnya dalam sehari itu, anda tidak memegang
handphone, adakah anda akan mencarinya?
Bagaimana
pula dalam sehari itu, adakah sekali terlintas di fikiran mencari Allah SWT?
Maka
di sini, mari kita renungkan.
Antara
handphone dan Allah, Yang mana satu kecenderungan kita paling utama?
Adakah
handphone lebih kita sayangi daripada Allah SWT?
Itu
hanyalah analogi yang barangkali kecil impaknya, dan tidak begitu berkesan
untuk kita meletakkan cinta kita DUNIA VS AKHIRAT.
Bagaimana
pula dengan golongan yang begitu asyik mencari menambah harta, pangkat,
material berbentuk kereta, rumah, perhiasan, perabot, kecantikan fizikal, serta
anak-anak dan keluarga. Begitu asyik sehingga hidup seolah-olah hilang arah
tuju yang sebenar.
APAKAH
KEUTAMAAN KITA DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN?
~Mengecapi
hidup dengan redha Allah-
Kebimbangan
menerjah, apabila hati dibelenggu dengan cinta kepada pesona fatamorgana
dunia, kita khuatir Allah SWT akan mengisinya dengan kelalaian, kealpaan, lupa dan kesesatan.
Nikmat
Hidayah diragut, ditarik dan dicampak kemudian digantikan dengan nikmat
kebejatan seperti pelbagai penyakit hati: takbur, kedekut, sombong dan
macam-macam sifat mazmumah.
Bayangkan
sahabatku, seandainya hayat kita di dunia ini digunakan dengan hal-hal yang
sia-sia, dan dalam sekelip mata ajal menjemput kita, bagaimanakah agaknya
kesudahan kita?
Begitulah
barangkali (pemahaman ana) tentang apa yang dinukilkan oleh Syed Qutb, begitu
singkat kita menghirup udara di dunia ini, tetapi kesudahan buruk dengan memikul pelbagai azab berat dan dahsyat yang begitu
lama dan mungkin selama-lamanya di perkampungan neraka kelak dek kerana alpa
mentaati perintah Allah SWT semasa talian hayat dimiliki di dunia.
Dunia
yang diibaratkan permainan dan senda-gurau ini terlalu halus pedayanya. Dunia
adalah penjara bagi orang-orang mukmin. Betapa setiap langkah dan keputusan
benar-benar umpama menempuh jalan berduri.
Ana
amat takut dan bimbang dengan kesudahan diri ini.
Dalam
ayat 3 & 4, “Janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui.” Ayat 5 “Janganlah
begitu, jika kamu mengetahui dengan pengetahuan yang yakin.” Dalam ayat
ini, Allah SWT mengulang ayat yang sama. Pengulangan berbentuk penegasan.
Maksudnya,
seandainya engkau mengetahui apa yang akan terjadi di hadapan kamu dengan pengetahuan
yang sebenar nescaya tidak mungkin bagi kamu dilalaikan dengan bermegah-megah
mengejar dunia ini. Justeru kamu akan berlumba-lumba dalam beramal soleh, namun
kerana kamu tidak mengetahui dengan pengetahuan yang sebenarnya, akhirnya
kalian terjerumus ke dalam keadaan
sedemikian.
Di
sini, betapa pentingnya ilmu untuk kita sampai kepada YAKIN akan setiap
kebesaran dan kekuasaan Allah SWT. Adanya dosa – pahala, syurga – neraka, azab,
balasan yang baik, redha – murka Allah Swt. Dengan yakin, kita percaya dengan
setiap amalan, tutur kata, niat, matlamat dan setiap perkara sentiasa
diperhatikan dan dihisab.
Seterusnya
ayat 6, “nescaya kamu benar-benar akan melihat neraka Jahiim.” Ayat 7, “Dan sesungguhnya kamu benar-benar
akan melihatnya dengan ‘ainul yaqin.”
Inilah
kesudahan terakhir bagi mereka yang berterusan dengan kelekaan semasa di dunia akibat
sibuk mencari harta dan pelbagai nikmat lain sehingga persediaan menuju akhirat dilupakan. Penangan azab neraka pasti
dirasakan. Allah SWT akan memaparkan realiti sebenar apakah neraka itu, dan
saat itulah penghuni syurga dan penghuni neraka akan melihat neraka yang
sebenarnya sehingga saat itulah kita semua benar-benar yakin dan segala
keraguan hilang serta-merta.
Sungguh
beruntung golongan yang diselamatkan daripada azab neraka. Pastinya kurnia
Allah SWT buat golongan yang beriman. Kita dahagakan di dunia lagi rahmatNYA
buat kita menghirup kelegaan dan keselamatan di syurga kelak. MasyaAllah
Dan
ayat terakhir, ayat 8 “Kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu
tentang kenikmatan (yang kamu megah-megahkan di dunia itu)”.
Maksudnya,
pada hari kiamat kelak, Allah SWT akan bertanya kepada kita tentang setiap
nikmat yang telah diberikan kepada kita semasa di dunia. Muda, sihat, masa
lapang, harta, usia, aman, pancaindera dan sebegitu banyak nikmat yang tidak
terhitung oleh akal kita. MasyaAllah…
Persoalannya:
Apakah kita sentiasa mensyukuri setiap nikmat yang kita sedari dan tidak sedari
ini?
Bagaimana
kita mensyukuri nikmat ini wahai saudaraku?
Atau
adakah nikmat ini kita telah menggunakan dengan sebaiknya atau kita bermaksiat
kepada Allah?
Adakah
kita terpedaya dengan nikmat tersebut dan tidak mensyukurinya sehingga Allah
SWT mengazab kita di sana nanti?
Penyesalan dan Seandainya masa dapat
diundur sentiasa
kita laungkan barangkali selesai terlanjur melakukan kesilapan. Namun, realistik
dan berpeganglah kepada tali agama dengan kuat. Kadang-kala kita mungkin tidak
menyedari nafsu berjaya mengatasi kawalan iman dengan melakukan kesalahan atau
keaiban. Mari, kita kembali kepada satu-satunya Zat yang sentiasa sudi menerima
kita walau dalam keadaan paling hina dan kotor kita. Kita lazimi istighfar,
zikir, solat taubat! Sungguh hidup memiliki Allah SWT sangat memberi makna dan
harapan yang mendalam untuk terus hidup dengan kemaruk redhaNYA sentiasa.