Tuesday, October 5, 2010

Perpisahan Itu

Usai solat maghrib, disudahi dengan wirid, zikir dan doa kepada Kekasih Yang Agung, ana membaca pula Surah Yassin. Rutin setiap kali malam jumaat.

Namun kali ini, ketika sedang membaca bait-bait ayat 16 yang berbunyi "Sahut utusan-utusan itu, Tuhan, kami mengetahui bahawa kami sesungguhnya diutus kepadaMU" ana menerima satu panggilan telefon.

Tersentak hati ini. Panggilan yang cukup membuat seluruh badan ini seram dan remang bulu. Suatu panggilan yang terus mengalirkan airmata ini, mengingatkan tentang sebuah perpisahan hakiki antara sesama manusia di alam fana ini. Panggilan Illahi, yang tidak ada sesiapa yang mampu menghalangnya.

Ketika itu, ana masih duduk diatas sejadah, masih menghayati surah ini. Sebelum membacanya, ana niatkan untuk menghadiahkan pahala ini kepada mereka, saudara terdekat yang telah pulang ke Rahmatullah. Alhamdullillah.. ana sempat niatkan sekali untuk seorang lagi hamba Allah  yang dikasihi yang baru kembali kepada PenciptaNYA melalui panggilan telefon tadi.

Ana meneruskan pembacaan dengan air mata yang menitis deras satu persatu.

Antara mengingati arwah makcik ini, penderitaan dengan pelbagai kesakitan. Ana tidak dapat menjelaskan satu persatu kesakitan yang ditanggungnya, tapi hanya menatap keadaan makcik, ana memahami keadaannya.

Hiba.

Makcik yang dahulunya seorang yang cergas, cantik, petah bercakap. Kini, sisa hidupnya hampir sedekad hanya di atas sebuah kerusi roda. Makcik hanya bersuara lemah,  kurus dan lemah longlai.

Mungkin biasa bagi kita melihat seseorang yang diulit dengan terlantar sakit, tidak terurus dan menyedihkan. Berbeza dengan makcik, biarpun tidak mampu berjalan dan mengurus dirinya dengan baik, tetapi, penampilannya jauh lebih bersih dari hujung rambut hingga ke hujung jari kakinya.

Benar makcik sakit selama ini, namun jiwanya tidak pernah begitu. Kasih sayang dan cinta, tabah tetup utuh.

Begitulah keadaan makcik ketika ana sekeluarga menziarahinya pada malam 2 syawal yang lepas. Kunjungan luar biasa bagi ana. Yang rupa-rupanya menyimpan hikmah yang tersisip dalam perancangan Allah SWT.

"Sempat juga habiskan puasa sebulan kali ini". Antara bicara makcik yang masih kami semua ingat ketika ziarah malam itu. Sungguh Allah SWT mengasihi hambaNYA ini. Amin Ya Rabb..

Muhasabah Diri

Firman Allah SWT yang berbunyi,

"Katakanlah: Aku tidak berkuasa menolak kemudaratan daripada diriku dan tidak pula mendapat kemanfaatan kecuali apa yang dikehendaki Allah SWT. Bagi setiap umat ada ajal. Apabila datang ajal mereka, maka tidak terlambat mereka sesaat pun dan tidak pula terdahulu."
                                                                                                         (Surah Yunus: 49)
  
Janji Allah adalah benar. Dan kematian itu adalah janji yang pasti akan datang kepada kita. Samada usia ini akan diakhiri dengan kesudahan yang baik atau sebaliknya, hanya Allah SWT dengan naungan rahmat-NYA sahaja yang dapat menyelamatkan. Sedangkan kita pada ambang maut menerpa, meminta dipanjangkan lagi usia ini, konon berjanji untuk kembali kepada cara hidup islam sebenar. Sia-sia belaka pada ketika itu. Tidak ada lagi pengampunan, andai hidup tidak pernah mengenal taubat.

Sungguh malang,

Buat yang terpedaya dengan bahana fatamorgana dunia ini. Hanyut dengan hidup yang serba serbi dengan dosa. Tinggalkan solat, akhlak yang buruk, sombong, lalai dan pelbagai penyakit kebejatan sosial umat manusia akhir zaman ini.

Akhirnya...

Ya Allah
Hamba ini tidak berdaya
Menjamin diri dengan Syurga-MU
Kami mungkin pernah mengasihiMU suatu ketika dulu
Namun,
Kerana nafsu, dosa dan maksiat kami
Kami alpa dah jauhkan diri daripada MU

Pernah
Kami bermaharajalela dengan dosa
Dan ENGKAU ampunkan kami
Tapi Ya Allah
Kami masih merasakan diri ini tidak layak untuk MU
Ampunkan kami Ya Rabbi
Akhirkan umur kami dengan kesudahan yang baik
Agar kelak
Kami menemuiMU dengan kebahagiaan
Bukan dengan penyesalan 
Golongkan kami bersama-sama
Dengan hamba-hambaMU yang soleh