Wednesday, July 27, 2011

Islam Agamaku


Alhamdulillah Allah SWT mengurniakan kesempatan dan kekuatan hadir ke Seminar Islam Agama Risalah Sempena Ijtima’ Haraki Pertama ABIM – WADAH Sabah 2 Julai yang lalu.

Ana ingin berkongsi tentang beberapa input yang didapati daripada Ucaptama Seminar ini yang disampaikan oleh Profesor Emeritus Dr. Osman Bakar bertajuk “Islam Sebagai Agama Risalah Dalam Kontek Alam Melayu."

Mukadimah

Memetik mukadimah beliau “Pada zaman sekarang, banyak orang yang mengakui dirinya islam tidak membaca al-Quran, malah jauh sekali daripada dapat memahami isi kandungannya. Mereka ini tidak membacanya samada kerana mereka tidak tahu berbuat demikian atau pun kerana mereka malas. Biar apapun sebabnya, mereka ini merupakan sebilangan besar daripada masyarakat Islam yang sama ada jahil sama sekali atau samar-samar terhadap kedudukan dan peranan Islam sebagai agama risalah.” 

Sesungguhnya, keyakinan bahawa Islam sebagai agama risalah yang perlu disebarkan tidak mampu dicapai melainkan memahami  isi kandungan Kitab al-Quran yang menerangkan tentang kebenaran Islam itu sendiri.  Maka, adakah kita telah ataupun dalam usaha untuk memberitahu tentang risalah-risalah yang terkandung di dalam al-Quran yang kita yakini? Atau masih dalam kesamaran tentang apakah risalah-risalah yang dimaksudkan?

Benarkah kita tergolong dalam mereka yang acuh tidak acuh mengasah kefahaman mengenai hidup beragama islam, sekaligus malas mencari sinar kebenaran yang tetap berpegang teguh?

Islam sebagai rahmat kepada seluruh alam, berkaitrapat dengan risalah-risalah yang perlu disebarkan.

Risalah bermaksud perutusan atau mesej, dakwah atau seruan, tabligh atau misi, perhubungan atau komunikasi, dan edaran. Sekaligus, makna ini bertepatan dengan makna yang dimaksudkan Islam sebagai agama yang memberi mesej, perutusan, misi.

Makna teras risalah ialah perutusan atau mesej. Ajaran agama islam yang terkandung dalam al-Quran merupakan perutusan atau mesej daripada Allah kepada manusia. Setiap ayat al-Quran merupakan perutusan, pesanan atau mesej illahi kepada seluruh umat manusia.
Pastinya, risalah-risalah itu merupakan peringatan yang sangat mustahak, perlu disampaikan kepada umat manusia, peringatan ke arah kehidupan yang sejahtera. Menjalankan tugas dwifungsi sebagai hamba dan khalifah di muka bumi ini.

Perlu kita ketahui bahawa Allah SWT melantik malaikat bernama Jibra’il sebagai penyampai utusan kepada manusia. Allah SWT melantik Nabi Muhammad S.A.W sebagai rasul terakhir menyampaikan perutusan illahi yang sebelumnya dipikul oleh Rasul dan Nabi yang lain.

Mesej Tauhid, MengEsakan Allah SWT: Mempersaksikan bahawa ALLAH SWT sebagai tuhan, tidak ada lain selainNYA.

Rasullullah S.A.W merupakan Rasul terakhir, al-Quran kitab suci terakhir Allah kepada manusia dan agama islam adalah agama terakhir daripada Allah kepada manusia. Rasulullah sudah meninggalkan kita, namun tidak bermakna risalah islam akan terhenti peranannya. 

Kitalah yang berkewajiban, bertanggungjawab dalam menyebarkan islam dan menghayati peranan agama islam sebagai agama risalah. Perutusan al-Quran adalah perutusan terakhir Illahi kepada manusia, maka menjadi kewajiban orang islam untuk menerangkan perutusan ini kepada seluruh umat manusia.

Islam adalah agama yang membawa kesejahteraan. Segala permasalahan yang meracuni kehidupan daripada hati sehingga kepada kehidupan bermasyarakat, ekonomi, sosial, politik terungkai apabila mesej-mesej yang dibawa oleh islam diaplikasikan dan dihayati.

Risalah-risalah ini sentiasa perlu menjadi siulan di bibir, tertegak di hati, terserlah dalam setiap tindakan. Apa saja isu atau anasir yang hadir dengan fitrah perosaknya, islam sebagai agama rahmat penyelesai paling moden, paling semasa yang sentiasa relevan merentasi setiap corak zaman dan liku-liku kehidupan.

Walaubagaimanapun, Allah menjanjikan ujian-ujian dan mehnah kepada hamba-hambaNYA.

Kezaliman, kerosakan, kepincangan akhlak, kepalsuan, kejijikan yang berlaku masa kini sepatutnya mendesak tuntutan supaya kita sebagai orang islam beriltizam dan kembali ke medan perjuangan, mengupayakan setiap lima nikmat sebelum datangnya lima perkara yang merugikan.

Sebarkan risalah yang terkandung dalam al-Quran kepada ahli keluarga, kaum kerabat dan saudara mara kita, rakan-rakan dan kepada orang lain. 

Kita menginginkan kembali kegemilangan Islam sepertimana yang direalisasikan oleh rasulullah tercinta, Muhammad S.A.W dan para sahabat baginda iaitu kedudukan umat islam yang kukuh, disegani dan dihormati. Namun, di mana jalan menuju kegemilangan ini?

Syarat kejayaan ini ialah berlakunya perubahan hakiki pada diri kita sendiri

Ya.

Suatu perubahan yang berupa anjakan kejiwaan dan kerohanian yang memperlihatkan peningkatan iman, ilmu dan amal, peningkatan akhlak dan peningkatan perjuangan untuk memperkasakan umat islam. Perubahan dalaman ini jika diusahakan secara beramai-ramai oleh ahli-ahli sesuatu kaum akan melayakkan kaum itu mendapat pertolongan Allah dalam mengubah nasib mereka ke martabat yang lebih baik dan yang lebih dihormati.

Allah menyebut di dalam Surah Ar-Rad, ayat 11
“Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah dahulu keadaan diri mereka sendiri”

Pasti sesiapa jua mahu berjaya di arena dunia dan kekal abadi di akhirat kelak. Namun, cara hidup kita perlu sentiasa di awasi dan dimuhasabahkan, adakah melalui cara hidup yang diredhaiNYA?.

Kerana, kita tidak akan berjaya di dunia dan di akhirat menurut kriteria kejayaan yang telah ditetapkan di dalam al-Quran sekiranya kita tidak akan mendapat pertolongan Allah SWT. Tetapi, kita tidak akan mendapat pertolongan Allah sekiranya cara hidup kita, kepercayaan dan amal perbuatan kita tidak direstui dan diredhaiNYA. 

Kejayaan ini adalah janii Allah SWT, dengan syarat yang perlu dipatuhi. Syarat-syarat wajib yang disebut di atas telah ditetapkan oleh Allah S.W.T, merupakan sebahagian daripada hokum-hukum alam keruhanian atau sunnatullah yang menurut al-Quran tetap kekal tanpa berubah-ubah. Allah menegaskan dalam firmannya dalam surah Al-Ahzab ayat 62
“ Sunnatullah berkuatkuasa di kalangan mereka yang hidup dahulu sebelum kamu. Tidak sekali-kali kamu dapati perubahan pada sunnatullah.”

Kita mungkin mencari tips bagaimana mencari kekuatan sehingga menjadi pendorong kepada diri untuk terus konsisten dalam perubahan kepada insan yang lebih hebat.

Kunci kekuatan umat yang akan membawa kepada kejayaan dan kemenangan berakar-umbi daripada kekuatan diri individu yang berpunca daripada tazkiah jiwa iaitu pembersihan hati dan jiwa. Kekuatan dalaman ini akan memancarkan sinar kekuatan melalui gerakan atau aktiviti-aktiviti menyampaikan risalah islam ini.

Maka, persiapkan diri. Sertai jemaah dan saling bekerjasama memperkuat ukhuwwah dan gerakan.