Friday, October 29, 2010

Suara Hati TIDAK!

Setelah 2 hari berlalu tanpa mengemaskini entri terdahulu. Seperti biasa, ana meninjau artikel saifulislam, tulisan Ust. Hasrizal. Ana yakin akan sentiasa ada isu-isu yang menarik perhatian. Malah membuka pemikiran ini.

Kali ini..

Ana melahirkan kebimbangan dan ketakutan.

Apabila kerajaan di bawah pimpinan Dato' Seri Najib Tun Razak mencanangkan kelab-kelab hiburan diperbanyakkan dan dibangunkan secara intensif.

Laporan Malaysiakini bertarikh 26 Oktober 2010 menyebut seperti berikut:

Pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu menjadikan Malaysia sebuah hab pusat hiburan malam bagi memacu industri pelancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Ini akan dilaksanakan dengan penubuhan beberapa kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan “mempakejkan” semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.

Menurut perancangan ETP yang dikeluarkan semalam, ia adalah sebahagian daripada 12 projek permulaan (EPP) yang bertujuan memperkasakan sektor pelancongan agar ketibaan pelancong dapat dipertingkatkan.

Langkah itu dijangka mendapat bantahan golongan konservatif agama yang sebelum ini telah berulang-kali berdemonstrasi membantah kehadiran penghibur antarabangsa. Sasaran terbaru mereka adalah bintang sensasi Amerika – Adam Lambert yang seorang ‘gay’.
foto: Malaysiakini.Com

Satu daripada 12 EPP itu adalah melonggarkan syarat ketat bagi penganjuran konsert dan majlis antarabangsa, yang sekarang ini dikatakan banyak menghindarkan penghibur antarabangsa ke negara ini.

Mulai suku terakhir 2010, acara antarabangsa yang menampilkan penghibur antarabangsa yang memenuhi tiga kriteria minimum dikecualikan daripada tertakluk kepada syarat-syarat ketat Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal).

Kriteria berkenaan adalah:
* Penarafan kelas A berasaskan pada kedudukan 100 teratas carta Billboard sejak lima tahun 
   yang lalu;
* Menarik 2,500 penonton bagi setiap acara; dan
* Telah membuat pertunjukan di tiga tempat antarabangsa.

Selain mematuhi syarat Puspal, mereka bakal tertakluk kepada “garis panduan yang lebih fleksibel”, pelepasan cukai, perlonggaran daripada imigresen untuk menjadikan Malaysia hub majlis acara antarabangsa.

Untuk meminda garis panduan Puspal, seperti yang dicadangkan, jawatankuasa Puspal akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain yang terlibat (majlis tempatan, Jabatan Imigresen, dan Kementerian Kewangan). Kementerian Pelancongan akan memantau dan menjejak proses pelaksanaan.
foto: Malaysiakini.Com

Jumlah pelaburan yang diperlukan adalah RM467 juta dan akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan. Kerajaan menjangkakan ia akan memberi pendapatan negara kasar sebanyak RM427 juta dan mewujudkan sebanyak 8,000 peluang pekerjaan.

Lebih mengejutkan lagi EPP juga mencadangkan penubuhan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu bagi menggandakan pendapatan hiburan malam Malaysia kepada RM1.8 bilion menjelang 2020.
Langkah itu akan menyaksikan penubuhan enam kelab malam baru yang mampu menampung kehadiran 900 pengunjung pada hujung minggu menjelang awal 2012. Dua lagi akan beroperasi pada 2013 dan 2014.

“Menjelang 2014, akan terdapat sekurang-kurang 10 kelab malam di zon hiburan. Ini akan menghasilkan impak pendapatan kasar negara RM0.7 bilion dan mewujudknan 5,614 pekerjaan baru menjelang 2020,” petik laporan itu.

Bagi mencapai hasrat itu, liberalisasi beberapa peraturan hiburan akan dilaksanakan, termasuk membenarkan pelanjutan had waktu beroperasi bagi pusat hiburan

Kawasan hiburan yang sedia ada dikatakan tidak memadai untuk mencapai pertumbuhan yang diharapkan memandangkan purata kadar penghunian hujung minggu bagi kelab malam di bandar adalah sebanyak 85 hingga 90 peratus.

Menerusi kerjasama dengan Greater KL/KV NKEA, dipersetujui bahawa lokasi berpotensi bagi kawasan hiburan baharu ialah kawasan di sekitar Central Market.

Kawasan ini akan direkabentuk untuk menarik pelancong dengan kemudahan 24 jam, keselamatan awam yang mencukupi, pengangkutan dan infrastruktur, tetapi ia akan kekal terpisah dari kawasan kediaman dan keagamaan.

Reaksi
Ana amat berasa bimbang dan kecewa.
Suatu musibah yang jarang kita sedari tatkala kita seperti tidak tahu lagi membezakan  di antara maaruf dan mungkar.

Jelas, membuka kelab-kelab hiburan ini membawa lebih banyak kemungkaran daripada kebaikan.

1. Lebih ramai umat islam cintakan hiburan bersifat hedonism.
2. Umat yang makin menghalalkan apa yang haram.
3. Umat manusia yang semakin ramai  biasa bergelumang hidup dengan kemungkaran.
4. Ajukan "biasalah tu". Diri terdokrin untuk tidak pedulisme dengan pegangan hidup.

Ya, kita semakin kerap mengajuk "biasalah tu" tatkala terserempak dengan pasangan bukan mahram sedang bercumbu-cumbuan. pasangan berkahwin gara-gara zina atau khalwat sesama mereka. "biasalah tu, mana ada orang yang iman tahap Nabi zaman sekarang ni".

Orang berjudi dan menang besar "biasalah tu, dia dah biasa dengan judi. Biasalah tu".

Orang tak solat "biasalah tu, ibu bapa dia tak solat. Padanlah tak tahu solat. Biasalah tu."
Dan banyak lagi perkara mungkar yang jelas mungkar.. kita semakin tidak hairan dan makin melazimkan "biasalah tu" sehingga kita menjadi semakin terbius dengan perkara kebenaran.

Kita buta kepada kebenaran.

Kita tidak lagi cuba untuk menegakkan kebenaran kerana kita sudah semakin terbiasa dengan kemaksiatan dan dosa. Kebaikan dan nilai-nilai akhlak yang baik pula semakin terasing dan terhakis. Malah, masihkah kita ingat?

Sindrom biasalah tu menjadikan kita semakin lupa kepada Allah. Tidak peduli lagi dengan agama. Apa tidaknya, maksiat dipandang enteng, manakala yang baik-baik pula makin sukar dilakukan. Kita semakin sukar berbuat baik.

Ada pula yang hairan dan berasa pelik. Melihat mereka yang masih teguh dengan ciri dan cara "Islam is a complete way of life", kononnya mereka ini ketinggalan zaman gara-gara masih berpegang dengan tali agama.

Itulah dia.

Liberalisasi mengambil tempat, agama makin merempat di segenap aspek kehidupan harian. Kita kehilangan deria rasa: sensitiviti dalam hidup beragama. Seperti semuanya sama sahaja. Tidak ada lagi halangan, sempadan yang membezakan antara dosa dan pahala.


Tiada Penafian: TIDAK Kepada Kelab-kelab Syaitan!

Ya.

Ana berasa sangat kecewa bagaimana pemimpin sanggup menodai maruah umat islam dengan mempertaruhkan sumber kewangan semata-mata untuk hiburan kepuasan dunia. Jana pendapatan haram yang jelas sumbernya haram!

Dengan tidak terkawalnya pelbagai musibah jenayah dan kejahatan penyakit sosial kini, pastinya memburukkan lagi keadaan anak-anak remaja kini.

Teringat ana dengan seorang pelajar di sekolah tempat mengajar. Selama 2 kali berturut-turut memeriksa skrip jawapan karangan bahasa inggerisnya. Khan (bukan nama sebenar) menulis tentang perubahan yang dia ingin lihat di sekolahnya. Mengejutkan! Dia mahu sekolah dijadikan pub. Dia melontarkan cadangan agar pelajar perempuan datang ke sekolah dengan berpakaian seksi. Malah, semua pelajar dikehendaki meminum alkohol/arak. Sesiapa yang gagal berbuat demikian, pasti akan didenda oleh pihak sekolah.

Jika ana tidak mengenali siapa Khan, pastilah ana bersangka baik dengan karangannya.

Benarlah. Tulisan kita mampu menterjemahkan fikiran kita yang sebenarnya.
Gambaran anak-anak remaja kini. Pemikiran yang semakin teracun dengan kedahsyatan liberalisasi.

Tiada lagi malu. Maka, perbuatlah apa saja yang semahunya nafsu mahu lakukan.

Cinta + Takut mati = Wahan

Pasti Najib sedar benar apa yang melanda anak-anak remaja kini. Pelbagai bencana sosial yang menuntut kerisauan kita.

Mengapa tergamak menggadai maruah dan aqidah agama sendiri?

Atas nama "cintakan dunia, takutkan mati". Itulah wahan. Penyakit yang mahu dielakkan sungguh-sungguh.

Al-Ibahiyyah.. seperti itulah yang dijelaskan oleh Saifulislam. Fenomena yang mengharuskan setiap kemaksiatan.

Suatu musibah yang dikhuatiri bakal membawa kepada rentetan bala yang seterusnya.

Jalan Pulang

Akhirnya, marilah kita sama-sama mengambil pengajaran dalam ayat 15 & 16 Surah Hud yang berbunyi

15."Barangsiapa mengkehendaki hidup di dunia dan perhiasannya, Kami sempurnakan pekerjaannya di dunia, sedang mereka tidak dirugikan"

16."Tetapi, tiada bagi mereka di akhirat, melainkan neraka. Dan hapuslah apa yang mereka kerjakan di dunia, dan binasalah apa yang mereka amalkan".

Ya Allah.. peliharalah kami daripada kejahatan tangan-tangan manusia yang mahu memadamkan cahaya Hidayah dan TaufiqMU
Kuatkan iman dan taqwa kami agar diri kami dapat berpegang teguh dengan agamaMU
Kuatkan semangat dan mujahadah kami menegakkan kebenaran dan amal soleh
Bantu kami Ya Allah
untuk berani mempertahankan kesucian agama ini
Cekalkan hati kami
Menghadapi apa saja kemungkinan
Berikan kami rahmat dan pertolonganMU
Agar kami tetap dalam perjuangan
Membersihkan
Membuktikan
Kebenaran & Keindahan
Islam
Dalam diri kami.