Wednesday, October 20, 2010

Hadiah daripada Kekasih

Memang, ana sukakan kritikan. Namun, tatkala menerimanya, terasa pedas sekali hati ini menerimanya. Kerana sifat kebenaran itu umpama ubat. Tidak begitu disukai, mentaliti kita ianya pahit. Tetapi itulah antara terapi penawar yang rata-rata berkesan.

Ucapan penghargaan terima kasih kepada sahabat di atas kesudian memberi input baru tentang penambahbaikan pengisian blog ini. Sungguh, moga Allah merahmatinya. Kritikan adalah rezeki daripada ALLAH SWT. Alhamdullillah. Syukran.

Dahulu

Ana bersyukur dengan Hidayah dan TaufiqNYA diberikan kesempatan untuk mengecap hidup bersyariat. Hidup bersaksikan Tuhan Pencipta Semesta Alam.

Aku bersaksi bahawa Tiada Tuhan Yang Layak DiSembah Melainkan Allah, Dan Aku Bersaksi Nabi Muhammad Pesuruh Allah SWT.

Sedikit transformasi dalam diri. Bukan untuk dibangga-banggakan, tapi disyukuri. Moga Allah SWT mengurniakan rahmatNYA agar diri hamba ini akan ditetapkan hati menikmati kemanisan dalam mentaati perintahNYA.

Ana menghitung, menghisab diri yang dulu. Memikirkan, apa lah ertinya hidup ini jika rahmat dan keberkatan Allah SWT tidak hadir dalam hari-hari sebagai hambaNYA. Ana mahukan syurga Allah yang penuh dengan kenikmatan, kesenangan, kebahagiaan. Suatu kenikmatan yang mustahil untuk diteroka oleh akal ini. Yang telah dijanjikan kenikmatan yang amat luar biasa lazatnya. Yang Tidak Pernah DILIHAT, DIRASA, DIDENGAR oleh pacaindera kita selama hayat di dunia ini.

Namun,

Serba Serbi dengan dosa & maksiat.

Kehinaan yang masih bersarang dalam diri.

Layakkah diri ini untuk Syurga Allah?


Hadiah Kekasih

Suatu perubahan yang dibuat umpama suatu pengorbanan yang tinggi. Umpama memberi benda yang paling berharga dan paling kita sayang kepada orang lain.

Ana jua merasa malu antara segan.

Ana punya pilihan? Pilihan untuk menidakkan kemahuan golakan jiwa untuk kembali kepada janji dan saksi termeterai di hadapan Pencipta? Suatu fitrah yang makin dilupakan. Sedangkan itulah jaminan bahagia hidup dunia. Bahkan paling indah untuk Akhirat, alamat mastautin kita kelak buat selama-lamanya.

Persaksian kita di hadapan Allah SWT. Menjunjung fitrah sebagai hamba Allah yang memegang sebagai title muslim beragama islam.

Teringat sedikit masa lalu. Apabila ana ingin sekali menutup kepala ini tatkala berada di dalam rumah. Kerana rumah ini seringkali di datangi mereka yang bukan muhrim ana, hati meronta-ronta untuk menutup aurat.

Perubahan itu sangat sukar untuk dilakukan. Berat tidak tertanggung di jiwa ini ketika itu. Rasa malu yang sangat menebal di hati. 

Keadaan ana sangat asing ketika itu. Tidak berteman. Tiada dikalangan saudara terdekat yang boleh ana menumpang kekuatan. La haula wala quwata illah billahil aziim. Ana lemah. Hanya Allah SWT sahaja yang memiliki kekuatan. Ana mohon diberi kekuatan.

Monolog dalam diri membina keberanian. Malu kerana pandangan manusia atau malu kerana dosa membuka aurat?

Ana memulakan dengan langkah kecil.

Ana memakai tuala. Agar tidak nampak ketara ana cuba-cuba menutup aurat. Dengan harapan memakai tuala itu, mereka disekeliling ana beranggapan ana sekadar mengeringkan rambut selepas baru membasahkannya.

Namun,

Di suatu malam semasa membuat persediaan perkahwinan akak ana, ana ditegur oleh seseorang.

"Hai Haiza, lebih baik kau pakai tudung ja. Rupa kau begitu (ana menutup kepala dengan tuala) macam orang membomoh aja".

 Lebih kurang begitulah bunyinya.

Takut. Cemas. Malu. Suatu perasaan yang memualkan. Meronta-ronta.

Nampak sangat keadaan ana ketika itu betul-betul dalam situasi memuncak. Perlu kekuatan tegar dan tegas untuk mempertahankan diri ini.

Samada, tanggalkan tuala ini dan kembali membuka hijab ini atau adakah terus menguatkan hati meneruskan perubahan ini?

Ana sebenarnya tidak ingin ketahuan bahawa ana melakukannya demi kerana Allah. Takut persepsi, Segan penerimaan orang lain terhadap ana. Kerana rasa terasing yang begitu mencengkam ketika itu.

Perlukah ditanggalkan saja hijab ini agar ana dapat memelihara persepsi mereka sebelum ini?

Kini, hamba Allah yang menegur sinis itu seolah-olah sudah dapat menangkap dan memahami mesej di sebalik tuala itu.

Sikit-sikit..

Lama-lama..

Ana mula memakai mini tudung di rumah. Selama ini mengelak dengan tuala. Fikir ana, tuala mampu menyembunyikan/ menggantikan sinonim tudung untuk menutup aurat.

Tidak terbendung jua kerana Kehendak Allah SWT.

Alhamdullillah. Kebahagiaan menerpa diri. Bahagia kerana diri ini membebaskan diri daripada dosa. Tiada lagi rasa bersalah, malu yang bersangatan. Allah gantikan dengan lapang dada. Perasaan yang sukar ana ungkapkan rasa penghargaan dan syukur kepada Allah SWT. Tatkala diri ini berserah diri.

Seterusnya..

Besar sekali cabarannya.

Satu persatu ujian Allah mengenai hamba ini.

Sentiasa diuji dengan setiap bicara yang ditabur. Dalam usrah. Ana banyak berkata-kata. Kata-kata itu jua menerbitkan banyak dugaannya. Ana boleh tumpas dan lemah. Alpa dan leka.

Mendirikan solat di awal waktu

Beristiqamah dengan solat sunat, membaca dan bertadabbur dengan Quran, Qiamullail..

Kadang-kala badan ini lemah dan letih jua. Ana diuji dengan kepenatan, rasa malas, di ganggu dengan "suatu keutamaan" yang tiba-tiba teringat di saat ketika berwirid dan berzikir. Padahal semua itu adalah tipu daya syaitan semata-mata.

Seperti mengatakan tetapi tidak juga melakukannya. Ana takut. Andai ini menjadi asbab ana tercampak ke neraka. Allahu Akbar! A'dzhubillahiminzailik

Pengajaran

Apa yang ana coretkan dalam entri kali ini hanya sebuah perkongsian tentang apa yang pernah diri ini alami apabila diuji dengan suatu ujian.

Ujian memilih untuk berhijrah.  Andai kalian kini dalam situasi dengan pilihan. Andai pilihan itu mungkin akan menerbitkan suatu perasaan yang tidak selesa dalam diri atau orang lain, namun pada suatu sudut lain, pilihan itu akan membawa kepada redha dan cinta Allah SWT, Jangan lengahkan lagi. Kuatkan hati dan berubah sedikit-sedikit untuk merealisasikan pilihan itu. 

Jika kalian memahami bahawa wanita bergelar muslimah wajib menutup aurat, maka pelihara lah hijab ini dengan hati yang redha.

Sanggupkah kita menanggung azab rambut dan kepala dibakar sehingga otak mendidih kepanasan akibat tidak menutup aurat?

Panas terik matahari jam 8 pagi mengenai kepala dan seluruh badan, kita seboleh-bolehnya mengelak daripada kepanasan, inikan pula rambut kepala dibakar sehingga mendidih. Tahankah kita?

Mengapa sanggup memperlihatkan rambut mengurai, tubuh badan ramping, leher jinjang, kecantikan keputihan kulit dipamerkan kepada mereka yang tidak layak dan berhak melihatnya? Mengapa kecantikan ini tidak disyukuri dengan ketaatan kepada Allah dengan menutupnya daripada pandangan-pandangan penyumbang dosa dan maksiat?

Taati apa yang telah diperintahkan. Jauhi apa yang dimurkai. Kembali kepada cara hidup islam yang sebenar. Perbaiki amalan dan aqidah. Suburkan kembali rasa cinta, rindu dan kasih kepada Allah SWT.

Percayalah.. perubahan yang dibuat semata-mata redha Allah SWT pasti akan membuahkan kebahagiaan dan kesenangan di hati. Pasti kepahitan menanggung ujian ini akan berakhir dengan kemanisan iman.

Moga rahmat Allah bertaut kepada mereka yang benar-benar ikhlas dalam ibadahnya. Mudah-mudahan Allah SWT menggolongkan kita dikalangan hambaNYA yang soleh.