Monday, October 11, 2010

Di Sebalik hari itu

Kebahagiaan
Mudah diraih
Mudah jua terlerai

Kebahagiaan yang hakiki
Bukan dengan shopping, tonton wayang
Hangat kasih dan sayang
di antara pasangan
cinta tidak kenal sempadan sunnatullah

Kebahagiaan
Bukan dengan makanan lazat dan enak
Bukan dengan wangian
Baju yang indah dan mahal
Bukan dengan hidup yang mewah
Bukan dengan darjat pangkat yang disegani
Bukan dengan hiburan yang menggembirakan hati
Bukan dengan kecantikan ketampanan padamu

Maka,
KEBAHAGIAAN SEBENAR
Di manakah ia?

Ana baru berjinak-jinak dengan luahan hati cerminnya puisi.

Alhamdullillah, ana merasakan rahmat dan belas kasihNYA. Allah SWT tetap memelihara ana tatkala langkah ini memijak ibu kota, Kota Kinabalu.

Segala macam dosa dan maksiat, membentuk titik-titik hitam di hati ini. Puasa dan Syawal sudah meninggalkan kita. Masihkah kita dapat menyelamatkan iman dan taqwa ini daripada ternoda pada hari-hari akan datang? Bimbang memikirkannya.

Ke KK

Hujung minggu yang lepas, ana berkesempatan menemani kawan-kawan ke KK. Rupanya ada jua secebis kerinduan untuk berkunjung ke sana.

Memang, kami berjalan ada hajat yang sudah dibulatkan bersama. Namun, agak lama juga meninjau tempat yang sesuai di Karamunsing, tidak jua ketemu tempat yang menepati kehendak. Jadi, kami bergerak keluar dengan Proton Saga sahabat menuju ke Centre Point pula. Itupun, kami tersalah jalan jua untuk ke sana. Ke Luyang. Arah yang tidak ada dalam senarai. Mungkin ada hikmahnya jua. Ana menghafal dan memperbaharui pengetahuan jalan-jalan di sini untuk akan datang.

Sesampai di CP, kami mendirikan solat zuhur terlebih dahulu. Kemudian, memulakan agenda di sini. Membuat rawatan muka, rawatan redung buat ana.

Akhirnya...Usai menyempurnakan niat, kami membawa diri ke restoran, akur dengan perut yang minta diisi.

Berada di Centre Point, ana merasakan kejelekan dan rasa gusar. Benci Kerana Allah. Mendalam.

Apakah semua itu?

Suasana CP yang hingar bingar dengan muzik-muzik berdentum.

Pelbagai jenis manusia yang lalu-lalang dengan karenah yang lebih banyak mambuatkan diri ini geleng-geleng kepala. Istighfar menemani hati ini.

Aneka jenis fesyen anak-anak muda. Pakaian ketat, singkat, aurat tidak lagi dihijabkan.Wanitanya.
Rambut yang seolah-olah menampakkan tuannya tidak keruan dan keliru! Lelakinya.

Pergaulan bebas di antara pasangan muda bercinta.

Terlirik mata ana dengan sepasang pasangan yang duduk di tepi bangku. Si lelaki seolah-olah membuat "pujukan rayu" dengan Si perempuannya. Astaghfirullahalziim..

     
Hadis Rasullullah SAW yang berbunyi:

"Jika kamu tidak malu, maka perbuatlah sesuka hatimu"

(Riwayat oleh Al-Bukhari)

Hadis indah ini berbicara mengenai malu. Sifat yang amat terpuji kerana malu adalah sebahagian daripada iman.

Malu bermaksud menahan diri dari melakukan pekerjaan yang 'aib dan mengawalnya dari melakukan sesuatu perbuatan atau meninggalkan sesuatu perbuatan dengan takutkan hukuman yang berupa celaa.

   (Al-Wafi Syarah Hadis 40 Imam Nawawi Oleh Dr. Mustafa Al-Bugha, Muhyiddin Misto)


Penyakit menjadi Barah

Ana mengaitkan di antara sifat malu dengan kemaksiatan yang bermaharajalela kini menjadi semakin biasa kita lihat.

Wanita muslimah dengan penuh selamba memakai pakaian seksi. Memakai tudung, tetapi baju sendat dan ketat menampakkan susuk tubuh. Lagi, terserlah bentuk punggung si tuan.

Memakai tudung, tetapi nampak dengan jelas leher jinjangnya. Sinaran perhiasan rantai dan subang terlekat cantik di pasang telinga.

Apakah tidak ada rasa malu lagi berpakaian sedemikian? Lelaki mahupun perempuan tidak melepaskan pandangan memandang sedemikian.

Kasihan.

Hilangnya sifat malu dalam diri adalah suatu penyakit. Kerana, sangat benar apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW, andai sifat malu makin terhakis dalam senarai sifat terpuji dalam diri, akibatnya diri seseorang itu tidak akan segan silu berbuat apa saja terutamanya perkara-perkara yang cenderung kepada kejahatan nafsu dan amarah.

Hilang sifat malu, SEMUA Dosa boleh jadi. Hilang malu, maruah dan mahkota diri tidak usah berfikir panjang untuk dilelong dan digadai.

Hilang malu, boleh jadi diri hamba itu serba serbi dengan pelbagai perisa dosa dan maksiat.

Maka, hiaslah diri ini dengan sifat malu. Malu yang bertempat dan tepat dengan kehendak syarak.

Kerana kecantikan wanita itu terserlah melalui sifat malunya.

Ya Allah,
Hamba ini sentiasa alpa dan lalai
Selalu berbuat sesuka hati
Selalu keliru mana yang terbaik, mana yang tercela

Maka Ya Allah,
Anugerahkan lah kami sifat malu yang ENGKAU redhai
Sebagai hijab buat kami
Agar diri kami
Terpelihara daripada fitnah dunia ini
Moga ENGKAU menjadikan diri kami wanita yang Solehah
Penyejuk mata buat hati-hati bersih yang memandangnya.

Sudah tentu, sifat malu lahirnya daripada iman dan taqwa. Tenang dan bahagia menutup aurat. Damai dan redha dengan segala amal soleh yang diwajibkan.  Tawakkal dan rasa manis dengan segala ujian yang getir. Kebahagiaan itu adalah di hati tatkala merasakan kemanisan iman itu sendiri iaitu:

  • Mencintai Allah SWT dan Rasul melebihi cinta pada manusia : Mereka yang bahagia hidup dengan mengamalkan cara hidup Islam yang sebenar. Islam is the way of life
  • Mencintai saudaranya seperti ia mencintai dirinya sendiri: Indahnya ukhuwwah dan Silaturrahim di antara satu sama lain.
  • Benci untuk kembali kepada dosa dan kekufuran. Rasa jelek melihat atau melakukan dosa yang pernah dilakukan dahulu.

Itulah Kebahagiaan. Yang bersemi mewangi apabila hati bersih dan suci. Rahmat Allah buat mereka yang sentiasa menjaga hatinya. Yang sentiasa berhati-hati dengan tindak tanduknya. Umpama berjalan di atas permukaan jalan yang penuh dengan duri. Kita menilik setiap langkah agar tidak jatuh kepada perkara tercela. Agar tidak terpijak duri-duri dosa yang menyesalkan.

Pengajaran

Ana sangat bimbang. Andai Allah SWT mencabut nyawa anda ketika berada di sana.

Sekembali di rumah, ana bermuhasabah diri kembali. Mengenang diri, menghitung dosa. Moga Allah SWT mengampunkan dosa-dosa ini.

Moga rahmat Allah SWT akan mengiringi hidup ini dengan ditetapkan hati dalam aqidah islam. Di suburkan dengan cinta KepadaNYA, jua kepada Nabi junjungan tercinta serta seluruh makhluk Allah SWT di muka bumi ini.

Ana gembira menjalin sitarurrahim dengan keluarga sahabat di Kinarut, sekurang-kurangnya ana tahu kini laluan ke rumahnya untuk majlis pernikahan Disember ini.

Lebih manis, ana berjaya mendapatkan sebuah lagi Novel Pembangun Jiwa, Tulisan Habiburrahman El Shirazy bertajuk BUMI CINTA. Ana dalam usaha mencerna intipati novel ini. InshaAllah akan dikongsikan kelak dalam entri akan datang.

Semoga Allah SWT akan melapangkan hati kita semua untuk terus beribadah dan bekerja bersungguh-sungguh.

Jaga diri..