Tuesday, October 25, 2011

Anak Muda & Semangat Juang

Assalamua'alaikum wbt..

Alhamdullillah.. agak lama tidak mengemaskini blog ini. InshaAllah mudah-mudahan usaha yang tidak seberapa ini akan berterusan dan mendapat keberkatan daripadaNYA.

Kali ini ana  ingin berkongsi tentang pemerhatian ana tentang diri anak-nak muda terutamanya pelajar ana sendiri.

Menjadi pendidik pada zaman ini, ana akui sangat hebat cabarannya. Berada di kelas, pelbagai gelagat dan karenah anak-anak murid. Ada masanya, bahagia dan gembira mendidik mereka apabila menunjukkan tingkahlaku yang sejuk hati memandang mereka, dan diselang-seli pula dengan kecewa, sedih, marah dan lain-lain. 1001 rencam rasa menjadi guru!

Namun, ana melihat golongan pelajar di sekolah seakan kehilangan semangat untuk berjuang.

Ana beri contoh paling mudah, di sekolah ana, pada awal tahun kebanyakan pelajar betah datang ke sekolah, mempamer kesalahan disiplin minimum. Tidak banyak memeningkan kepala.

Masa berlalu, tiba pertengahan tahun sehingga ke detik-detik peperiksaan penting, di sinilah pelbagai penyakit akan keluar.

  • Malas hadir ke sekolah (terutamanya hari Isnin dan Jumaat)
  • Kerja rumah tidak disiapkan (setelah berbulan-bulan diberikan, masih ditinggalkan kosong)
  • Ponteng kelas/sekolah
  • berhenti sekolah (terutamanya pelajar perempuan kerana berkahwin)
  • Malas belajar
  • Dating

Pendek kata, pelajar masa kini perlukan ketahanan daya juang yang tinggi untuk terus konsisten menggagahi perjuangan ini. Jika tidak, mereka menempah tiket keciciran dan terus hidup berselimutkan kemunduran dan kepayahan.

Ana berkata kepada pelajar "mungkin terlalu banyak dosa guru-guru sehingga para pelajar tidak lagi mengendahkan nasihat gurunya kan?"

Sedih, saban hari ana perhatikan semakin banyak kerusi kosong di kelas menunggu empunya diri mendudukinya. Seperti tidak kunjung tiba lagi. Bagaimana agaknya keadaan anak-anak murid itu sekarang?

Apakah nilai pendidikan ini sudah jauh rendahnya berbanding melayani sifat malas dan inginkan keseronokan segera ketika ini bagi mereka?

Sedih melihat kedatangan ke sekolah tidak memberi sebarang impak positif kepada mereka. Tidak kelihatan sinaran mata dengan nyalaan semangat berkobar-kobar inginkan kejayaan. Semuanya hanya suka-suka, remeh-temeh dan mudah-mudah.

Hebat cabaran membina hati-hati mereka agar berjiwa besar!

Sangat beruntunglah keberadaan mereka di institusi-institusi pendidikan yang mensyukuri ruang dan peluang ini sebaiknya. Apakah peluang itu?

Institusi pendidikan seperti universiti menempatkan para golongan intelek yang memiliki citra  ilmu dan idealisme. Mendampingi, mendengar, berjumpa dengan mereka pasti sedikit sebanyak menyuntik pelbagai bentuk kesedaran: Sebagai contoh ana masih ingat seorang pensyarah ana yang berbangsa cina. Seorang yang sangat bersemangat. Tidaklah ana mengenali beliau dengan mendalam, tetapi cukup mendengar kuliah dan bertemu dengannya memperlihatkan kesungguhannya untuk sentiasa memberi yang terbaik. Ana fikir, kadang-kadang cukup dengan menilai tindakan dan personaliti seseorang itu sudah dapat mencetuskan muhasabah diri untuk membuat koreksi pada diri. Buang sifat yang buruk dan ubah kepada yang lebih baik!

Saya bersyukur dengan pengajian di Universiti Malaysia Sabah (UMS) sesi 2005-2009 membuka mata dan hati  untuk memperbaiki diri. Di sini ana mengenali ramai sahabat yang hebat. Alhamdulillah baru ana menyedari makna keberkatan pada ilmu. Kerana tempat ini merupakan gedung ilmu, ana dipertemukan dengan mereka yang merupakan pejuang dan beridealisme. Paling bernilai ialah menggabungkan diri dengan jemaah yang cintakan agama, cintakan tuhan, cintakan kebaikan seperti ABIM. Variasi program dakwah dan tarbiyyah banyak memberi islah kepada diri untuk terus istiqamah menyayangi dan menjaga nikmat-nikmat yang dikurniakan Allah.

Ana menyedari setiap memori yang masih ana ingat sepanjang pengajian di sana mempunyai nilai tarbiyyah (pendidikan) dan hikmahnya. InshaAllah mudah-mudahan ada ruang lagi untuk ana.

Ana gusar, seandainya para pelajar yang mencicirkan diri mereka daripada sekolah, daripada pendidikan, daripada cintakan kejayaan, mereka tidak mampu melangkah jauh. Paling parah dan menakutkan ialah apabila mereka menutup peluang hijrah untuk menggapai cahaya hidayah, cahaya iman dan taqwa untuk menepis segala macam pancaroba hati nurani.

Dengan persekitaran yang lebih banyak kepada pengabaian hidup bertuhan, berhijrahlah membawa misi suci melakukan islah diri. Kelak, sekembali ke kampung halaman, menjadi pembakar semangat anak-anak muda bangkit merubah diri!