Wednesday, December 15, 2010

Ranau.. Inginku Kembali Lagi

Mungkin ana boleh dikatakan  individu yang jarang-jarang berpergian atas nama melancong!

Lebih-lebih lagi musim cuti sekolah kini. Ana pasti inilah hari-hari yang patut diisi dengan pelbagai agenda berupa percutian, perkahwinan, mengikat pertunangan, meluangkan masa bersama keluarga dan sebagainya.

Menatap status sahabat-sahabat di Facebook, tercuit keinginan untuk berkongsi pengalaman bersama mereka.

Namun, diri ini hanya mampu bersabar.  Kesempatan begini diisi dengan ingatan dan muhasabah tentang kenangan yang tercipta hampir setahun 2010 ini.

Kali ini, ana akan mengabadikan pula tentang pengalaman awal November yang lepas.

Istimewa Di Hati

Pada suatu  hari, seorang sahabat mengajak ana  menemaninya mengiringi pelajar-pelajar Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) ke Ranau,.

Hemm.. ana tidak mengambil masa yang lama untuk bersetuju. Dalam hati ceria mengatakan Yes!! Ranau?? Wah...

Kerana ana meminati cuaca di Ranau. Pada hemat ana, tempat yang sungguh istimewa. (Setakat ini - Al-maklumlah jarang-jarang berjalan)

Antara beberapa destinasi yang kami lawati, bermula di Kg. Luanti Baru (ikan-ikan yang dikatakan boleh mengurut? Wallahualam. Ana tidak sempat mencubanya), seterusnya ke Ladang Teh Sabah. Bersambung pada hari ke-2 di Poring, Ladang Lembu Mesilau dan berakhir di Taman Kinabalu.

Antara semua tempat yang kami lawati, ana tidak mungkin melupakan suasana di Poring.

Apa yang menjadikan Poring menjadi destinasi pilihan mungkin kerana air panasnya.. seronok mandi-manda?

Namun, kerana ana tidak merasa kesempatan ini, maka ana berkongsi pengalaman yang berbeza hampir dua jam setengah di sana.

Rombongan kami adalah antara yang terawal sampai di Poring. Lebih kurang jam 8 pagi!

Peserta yang lain terus mengambil kesempatan untuk bersiap mandi. Kami, antara 4 orang guru pengiring sebaik bersarapan, segera menyusun langkah meneroka tempat ini.

Aktiviti pertama kami ialah mendaki bukit setinggi 475m untuk berjalan di jambatan kanopi. Sungguh ana sebenarnya agak takut dengan ketinggian. Gayat! Penat juga mendaki dengan sandle bertumit rata 2 inci.

Seterusnya kami berjalan mendaki bukit pada ketinggian lebih 300m  untuk sampai ke Air Terjun Kopungit.

Di sini, ana menemui kenikmatan yang tidak terungkap.

Hampir 50m sebelum sampai ke air terjun yang dimaksudkan.. kami sudah terdengar sayup-sayup deruan air sungai.

Rasa tidak sabar segera sampai ke tempat ini.

SubhanaAllah...

Sesampai di sana, segera menanggalkan sarung kaki dan sandle.. menyentuh air sungai ini.

Terbit Rasa

Lama ana memerhatikan suasana sekeliling, mengamati setiap kejadian. Air terjun yang sangat mengujakan. Airnya yang sungguh sejuk menyegarkan. Batu-batu besar dan kecil. Pelbagai saiz dan bentuk. Tumbuhan hijau.. Hijau yang benar-benar menyejukkan  pandangan  mata ini.

Ana berasa aman, tenang dan bahagia seketika.

Segera teringat dengan ayat-ayat cinta Illahi yang berbunyi,

"Iaitu Syurga Adn,  mereka itu masuk ke dalamnya, sedang air sungai mengalir di bawahnya, untuk mereka itu di dalamnya apa yang mereka kehendaki. Demikianlah Allah membalas orang-orang yang bertakwa.”
                                                                              (Surah An-Nahl : Ayat 31)

Menyuntik inspirasi di sanubari.

Segera memaculkan pujian dan kekaguman  dengan Kebesaran Ciptaan Allah SWT.

Lafaz-lafaz zikir memujiNYA.

Bagaimana rasa bahagia dan kenikmatan yang masih segar ana rasakan hingga hari ini.

Menghayati suasana damai air terjun dan kesegaran di sana.

Kejernihan air sungai.

Ana berfikir sebenarnya, setiap kali syurga dibicarakan di dalam ayat-ayatNYA, Syurga dengan air sungai yang mengalir di bawahnya..

Apabila ana kaitkan kenikmatan syurga dengan air terjun di Poring, kerana air seringkali dikaitkan dengan ketenangan. Kebahagiaan.

Ada sesetengah di antara kita akan pergi ke laut. Bermacam aktiviti dilakukan.

Berkhemah dan  memancing di sungai.

Kita menenangkan diri juga dengan air.

Namun, keindahan  air  sungai yang sering disebut-sebut dalam syurga itu  adalah kenikmatan yang sudah Allah janjikan bahawa ianya adalah keistimewaan yang tidak pernah disaksikan oleh kita selama berada di dunia fana ini.

Keindahan yang dirahsiakan dan suatu kejutan yang pasti INDAH.

Bakal disaksikan oleh penghuninya nanti.

Sebaliknya, semua rasa  manis yang Allah anugerahkan semasa ana berada di Air Terjun Kopungit ketika itu sudah tentu tidak akan mampu menandingi kemewahan rasa di syurga kelak.

Kalau ana sudah merasa saat-saat yang begitu mempesonakan hati ini, bayangkan pula hanya kebahagiaan  sahaja yang selayaknya dikecapi oleh hamba-hamba pilihan  istimewa di sana nanti.

Singkatnya meneroka rasa-rasa indah di Air Terjun Kopungit, tidak ingin ana membawa langkah ini pergi meninggalkan.

Apa lagi..

Andai syurga bakal menjadi perkampungan abadi kelak nanti.

Sepuas-puasnya.

Selama-lamanya.

Tiada kebosanan merasai anugerah  ini.

Menatap dan menyingkap rahsia air sungai yang mengalir itu.

Pastinya pemandangan yang cukup ana yakini tidak pernah akan menandingi persaksian indah rasa di Air Terjun Kopungit dan mana-mana tempat jua yang kita senaraikan tempat-tempat paling cantik yang pernah dilihat, didengar dan dialami sendiri.

Hanya doa, pujian dan keharuan mampu ana lahirkan ketika itu.

Sungguh. Ana terlalu kerdil di sisiNYA untuk mengatakan dan merasai pengalaman ini.

Rasa diri ini tidak layak untuk syurgaNYA.

Hanya mampu berharap .. berharap dan terus berharap dengan mengislahkan diri.

Doa moga kenikmatan ini tidak akan berakhir di tempat ini.

Moga Allah SWT akan sentiasa memilih insan berjiwa hamba ini untuk merasai sekali lagi pengalaman  ini.

Moga diberikan hati yang sentiasa mensyukuri setiap kejadian  yang diciptaNYA.

Akhirnya, musafir kami di Bumi Ranau hari itu sampai ke penghujungnya pada petang sabtu, 6 November dengan perasaan berat hati. Namun syukur berpanjangan hanya kepadaNYA dengan kesempatan berharga ini.

Semoga Allah SWT sentiasa menjaga hati-hati ini untuk terus mengharapkan rahmatNYA meneruskan sisa-sisa usia di dunia dengan keinsafan yang tinggi menunggu seruan kembali ke pangkuanNYA kelak. InshaAllah