Wednesday, February 9, 2011

Kuasa disebalik kudrat

Ana dapati suatu kata-kata di ruangan Facebook Umi Faridah,

"Yakin bahawa Allah mahu kita belajar sesuatu dari setiap peristiwa dan takdir yang berlaku-agar kita menjadi lebih baik dari sebelumnya. Walau pahit yang perlu dilalui pasti ada 'mesej indah' yang ingin disampaikanNya ...kerana itu bersegeralah kembali kepadaNya... pasti kebahagiaan hakiki menanti di hujung sana..."
Kerana perjalanan hidup di dunia sementara ini tidak seperti yang selalu kita harapkan. Seringkali hadir batu-batu kecil menyebabkan langkah kita terhenti.  Tersembam. Sakit yang amat dirasakan.
Ketika itu hanya rahmatNYA.. melalui kekuatan iman dan taqwa pelampung kita untuk bersabar dan bertahan. Bersabar sabar sabar dan sabarlah.
Di sebalik setiap kesusahan yang datang, janganlah pernah mengalah. Sebaliknya, kuatkan pautanmu kepada tali doa dan tawakkal kepada Allah SWT.
Kecintaan kepada risalah kebenaran yang disampaikan Nabi junjungan Rasulullah SAW mesti diteruskan walau dalam usaha yang paling minimum sekalipun. 
Kesusahan yang kita alami pada masa lalu, kini dan akan datang tidak pernah dapat menandingi kesusahan yang dilalui semasa Rasulullah dan para sahabat dahulu. Bagaimana Saidina Ali ketika itu seorang remaja yang masih sangat muda begitu berani menggantikan dirinya di tempat tidur baginda, ketika baginda Rasulullah diperintahkan oleh Allah SWT untuk berhijrah. Ketabahan Asma' Abu Bakar menghantar makanan buat ayahanda dan Rasul yang dicintai, sedangkan Rasulullah ketika itu sedang aktif diburu oleh kaum kaffir musyrikin.
Dan jangan pula mudah dibuai keseronokan dan keselesaan, kerana dikhuatiri menjadi asbab kepada kelalaian kita kepada perintah Allah SWT. Menebal sifat sukakan benda-benda mahal, suka bermewah-mewah sehingga menyemai subur sifat-sifat mazmumah seperti takbur, suka memandang hina dan meninggi diri. 

Fitrah sebagai hamba
Hakikatnya, kita hanyalah hamba Allah SWT. Terimalah fitrah ini dengan jiwa hamba. Yang tidak punya apa-apa. Yang sehayatnya berkehendak kepada Allah SWT sepertimana dalam firmanNYA yang berbunyi
"Wahai manusia, kamu fakir (berkehendak) kepada Allah dan Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji"
                                                                                   (Surah Faathir: 15)

Ingatlah, setiap kebaikan yang kita lakukan, jangan pernah mengingatilah lagi. Kembalikanlah semula kepada Allah SWT. Semua nikmat dan anugerah yang kita dapati itu adalah kurniaan Allah semata-mata. Kekuatan dan kebolehan itu hakikatnya jua kurniaan Allah SWT. Maka janganlah merasa diri bangga tatkala kita berjaya memperoleh sesuatu kejayaan.
Andai jua apa yang kita beri atau lakukan, namun tidak menampakkan hasil yang kita ingin lihat, maka belajar menilai keikhlasan hati. 
Anda berjaya menaikkan peratus pencapaian kejayaan anak-anak murid dalam peperiksaan mereka, namun orang lain pula yang mendapat Anugerah Guru Cemerlang tahun itu. Siapa yang lebih layak? 
Maka, ketika orang lain tidak menghargai sumbangan kita, adakah kita redha atau tidak puas hati?
Nilailah kembali keikhlasan hati, apakah tujuan kita sebenarnya?
Perhatian duniawi atau kerana redha Allah?
Kuasa Di Sebalik Kudrat
Ana yakin dan percaya bahawa dengan niat yang tulus kerana berkehendakkan redha Allah, pasti Allah akan mengurniakan petunjuk kepada hamba-hambaNYA yang bertaqwa. 

Semaikan kemahuan yang kuat, dan sentiasa berikhtiar mencari jalan. KEMAHUAN pasti akan menghasilkan KEMAMPUAN.

Cekalkan hati..

Walau diri dihimpit dengan kesusahan, berkat niat yang tidak berbelah bahagi, pasti akan muncul kuasa di sebalik kudrat.

Sepertimana Allah SWT berfirman dalam Surah Al Baqarah ayat 284 yang berbunyi
"Allah SWT tidak memberikan beban yang tidak mampu ditanggung oleh hambaNYA. Ia mendapat pahala dari kebaikan yang dilakukannya dan ia mendapat siksa dari kejahatan yang dilakukannya"

Oleh itu, ingatlah bahawa perjalanan di dunia fana ini bakal berakhir. Penuhilah masa-masa lapang ini dengan kebaikan dan amal soleh. Membaca, memerhati, menginsafi, menangisi dan menyesali dosa-dosa selama ini.

Bantulah agamamu. Tegakkan kembali syiar mulia ini. Gabung dirimu kembali dengan indahnya hidup dengan islam...

Wallahua'llam