Wednesday, November 3, 2010

Seronoknya jadi cikgu!

Agak sibuk dengan tugasan sebagai pendidik. Lebih-lebih lagi penghujung persekolahan sesi 2010 berbaki seminggu lagi. Kesibukan sebagai guru kelas menuntut pelbagai koleksi tugasan: Mengemaskini segala rekod berkaitan anak-anak didik. Rekod kehadiran, rekod prestasi, rekod disiplin, yuran sekolah sehinggalah kepada membuat susulan salinan dokumen tentang diri anak-anak. Benar-benar menuntut kesabaran!

Alhamdullillah.. terasa belaian dan perhatian kasih sayang kekasih, Allah SWT tatkala ana mula merasakan sedikit demi sedikit kemanisan menjadi seorang pendidik.

Syukur.. ana terpilih menjadi salah seorang warga pendidik. Yang pada mulanya ana memulakan hari-hari di SMK Pitas dengan goyahan dan golakan perasaan yang mencetuskan keluhan acuan adu domba.

Penatnya jadi cikgu!

Stressnya mengajar kelas peperiksaan!

Malasnya mengajar!

Kerana tugas dan amanah ini bukan main-main.

Main-main, maka.. terimalah nanti segala yang tidak syoknya menjadi cikgu.

Mula berubah

Dulunya.. setiap kali kembali ke Pitas apabila cuti-cuti sekolah tamat. Banyak karenah yang dialami. Paling teruk ana kembali dengan badan dan minda yang sangat menjengkelkan. Motivasi yang sangat teruk! Seribu satu alasan tercipta untuk tidak mahu datang ke sini. Mendidik dan mengajar. Kerjaya yang sangat memenatkan.

Ana terfikir bagaimana mungkin ana memotivasikan anak-anak didik sekiranya guru sendiri kurang bermotivasi??


Suatu ketika di usrah.

"Saya setiap kali memulakan langkah pergi bekerja, berniat dahulu semoga hari ini menjadi lebih baik daripada semalam."

Begitulah yang diungkapkan oleh cikgu Milus semasa pengisian usrah Jamuan Hari Raya hari itu.

Hati berdetik.

Sudah puas ana mendengar ungkapan demikian. Sebelum ni masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

Bezanya, ana kadang-kadang saja mempraktikkan nya seawal bermula dengan doa + niat.

Itulah Kuasa niat!

Sejak mendengar ungkapan itu, ana mula mempraktikkannya kembali. Ditambah dengan tips Dr. Fadzilah Kamsah.

Sebelum tidur: Imaginasikan perkara yang best-best tentang apa yang hendak dilakukan esok hari. Sambil berdoa moga-moga hari-hari yang bakal ditempuhi adalah hari-hari yang lebih baik. Juga ana berdoa sentiasa dikurniakan kebahagiaan dan kesejahteraan di hati.

Alhamdullillah dengan doa dan azam untuk bolos daripada kesulitan selama ini, Allah tambahkan lagi dengan satu nikmat di hati.

Iaitu nikmat kasih sayang dan cinta.

Yang selama ini, hati ketandusannya.

Ana memulakan hari-hari bekerja dengan kasih sayang dan cinta.

Kelas 5K

Ana berhadapan dengan pelajar-pelajar Kelas 5 Kemboja.

95% TIDAK BERMOTIVASI
80% MASALAH DISIPLIN
60% MASALAH KEHADIRAN
98% KELAKUAN YANG MENJENGKELKAN

Sungguh! Setiap kali masuk kelas, segala perancangan yang dibuat kebanyakannya akan GAGAL.

Ana pernah menyalahkan mereka.

Tetapi, ana kini tahu masalah daripada diri.

Mengajar... mendidiklah... tegurlah.. nasihatilah... anak-anak didikmu kerana dirimu menyayangi dan mencintai mereka.

Segala-galanya kerana cinta. Bukan kerana benci dan menurut amarah semata-mata.

Alhamdullillah.....

Kenikmatan yang ana rasakan apabila bersama anak-anak didik. Bahagia yang singgah di hati tatkala mengekpresi cinta tika kepenatan dan keletihan, bertemu bersama-sama meluangkan masa untuk melaksana tanggungjawab.

Kelas tuisyen!

Gembira mendampingi anak-anak.

Walaupun dengan..

Bukan perangai yang menyejuk mata. Tetapi, umpama menyimbah minyak tanah pada api!

Kelakuan yang bila-bila masa akan mencetus amarah melihat kelakuan mereka.

Tetapi.....

Jangan menurut perasaanmu.

Rawatlah ia curahan kasih serta nasihat sarat dengan sayang dan cinta buat mereka.

Bagaimana lemah dan tidak motivasinya ana setiap kali english lesson memanggil ana masuk kelas mereka. Ana kuatkan diri jua.

Hari-hari muhasabah diri.

Ana membayangkan, katakan pada diri, saya akan buat yang terbaik hari ini walau apa jua keadaan dan layanan mereka. Itu kata-kata setiap kali memasuki kelas. Terutamanya kelas 5K.

Alhamdullillah kuat niat dan cinta .. Akhirnya sedikit sebanyak membuahkan kemesraan dan kasih sayang. Antara kami.

Nikmat seorang guru

Seronok sekali membaca esei mereka tatkala hati ana benar-benar tersentuh. Jarang-jarang begitu. Rupa-rupanya, Alex benar-benar bercerita tentangnya ayahnya yang strok dan impiannya untuk memperbaiki taraf hidup keluraganya. Dalam esei sebelum ini, Alex bercerita tentang dirinya yang seronok tinggal bersama pakciknya. Tidak sempat ana bertanya. Di mana ibu bapanya. Terjawab dalam esei terbarunya. Malah menambahkan kasih dan sayang terhadapnya.

Alex selama ini selalu tidak hadir ke sekolah. Di tanya, alasan semudah "malas!" sahaja jawapan yang diberi. Banyak kali juga teguran yang ana berikan.. tentang dirinya. Penampilannya. Visi hidupnya. Tentang penyakit malas : Penyakit generasi muda masa kini. Pelbagai leteran lain.

Dan, baru kini ana berfikir tentang dirinya.
Alex kini, sangat segak. Bajunya sentiasa dimasukkan. Kehadiran ke sekolah semakin memuaskan. Kerja sentiasa disiapkan. Dulu, gagal dalam subjek English, kini.. alhamdullillah lulus. Dengan disiplin yang ia perbaiki. (Walaupun ana tidak pasti sampai bila perubahannya, moga dia akan terus konsisten)

Moga berupa perubahan yang ikhlas dan konsisten.

Alex salah seorang daripadanya.

Seronok dan bahagia sekali.

Ana merupakan guru kelas 5K. Kelas paling hujung. Berhimpunnya mereka-mereka yang dikatakan paling nakal, paling tidak pandai dan pelbagai stigma lain tentang kelas hujung.

Hampir 11 bulan bersama-sama mengharung segala bulian anak-anak ini.

Suatu pagi jumaat,

Sarji, pelajar kelas 5K berjumpa ana.

"Teacher, kenapa nama saya kena blacklist teacher? Apa masalah saya?".

Nampak kekecewaan di wajah Sarji.

Ana bersedia mendengar hujah-hujahnya. Ana agak kaget. Apabila dirinya mengatakan,

"Macamana SMK Pitas ni mahu maju kalau orang yang mau belajar diblacklist namanya."

Sarji antara pelajar yang bukan sebarang memberi hamburan kata-kata.
Selalu membantah. Bantahannya ada yang bernas. Lebih banyak loyar buruk. Tapi kali ini, bernas.

Sebenarnya, nama Sarji terpaksa ana blacklistkan daripada senarai pelajar yang terpilih mengikut kelas tambahan pecutan akhir SPM atas nasihat. Memandangkan ada guru lain yang sudi membantu mengajar tuisyen kelas mereka, maka akan ada syarat-syarat tertentu yang terpaksa ana akur. Guru senior ini hanya mahukan pelajar yang mempunyai disiplin yang agak baik sahaja untuk terpilih.

Ana tahu disiplin Sarji tidak begitu memuaskan. Entah mengapa hati ini tetap merasakan pelajar ini berhak untuk diberi peluang.

Dalam senarai tersebut, tentulah nama yang diblacklist itu menjadi perhatian dan tanda tanya. Silap ana, tidak membuat senarai baru. Nama yang diblacklist dengan marker pen berdakwat hitam itu tidak mampu menghijabkan nama tertera Mohd Sarji.

Kasihan.

Tapi.. ana tidak boleh sembarangan menampakkan emosi ini.

Akhirnya, ana memprovokasinya semula dengan persoalan,

"Sekarang ni tidak ada masa lagi kamu mahu tahu kenapa nama kamu digugurkan. Kamu tengok sendiri la dengan diri kamu. Bagaimana adab kamu dengan guru? Kamu study di kelas mcmana? Siapa paling bising dalam kelas kamu?"

Semuanya persoalan provoksi. Untuknya berfikir merenung diri.

"Persoalan sekarang ni, adalah bukan tanya kenapa nama kamu digugurkan. Tetapi persoalan bagaimana kamu mahu berjaya?"

"Kamu mahu kah tidak ikut tuisyen ni?"

"Mahulah teacher." Jawabnya yang masih bersaki - baki dengan rungutan yang sama.

Ana tidak mengendahkan.

"Jadi kamu masuk kelas 5D, ikut kelas teacher nanti." Jawab ana dengan tegas. Sekali gus mematikan perbualan kami disitu.

Sarji terdiam. Merenung dalam mata teachernya ini. Marahnya makin surut.

Ana yang pada mulanya agak cemas. Takut-takut Sarji akan bertindak kasar. Akhirnya, menarik nafas lega.

Mencabar dan tercabar

Sengaja mencabar kesungguhan Sarji dan Mahadi. "Tuisyen esok, pastikan kamu datang sebelum jam 2.30. Jam 2 ada sudah kamu di sekolah." Dengan nada tegas, tuntas dengan kasih sayang.

Sarji menarik nafas. "Ok bah teacher. Tengok-tengok lagi teacher yang lambat nanti. Kita tengok nanti siapa yang datang cepat." Dengan lagak kelelakiannya.

Alhamdullillah.. bahagia sekali ketika mereka hadir semasa kelas petang itu. Jarang-jarang ana melihat kesungguhan mereka menyiapkan drilling yang diberikan. Siap membawa kamus. Tidak terdengar suara-suara bising mereka selama ini.

Terharu melihat Mahadi yang selama ini tidak pernah ana melihat dia bersungguh-sungguh menjawab. Cuma sekali sekala.. seperti cacing kepanasan. Al-maklumlah, tidak pernah senang duduk selama ini.

Geli hati. Bahagia.

Walaupun, ana tahu keadaan begitu tidak berkekalan buat mereka berdua, moga akan hadir sinar Hidayah dan Taufik buat mereka. Doa ana mengiringi sewaktu melihat mereka berdua berjalan kaki pulang ke rumah. Moga Allah mengasihi anak-anak ini.

Tarbiyyah Hati
Pengajarannya adalah jangan pernah membenci pelajar-pelajar yang tidak disukai oleh orang lain. Dekati mereka.. tegurlah.. nasihatilah mereka dengan lemah lembut dan kasih sayang. Layanilah mereka seadilnya. Pelajar yang bermasalah disipiln jangan pernah disisihkan. Jangan pernah serik dengan mereka. Bersabarlah mendidik mereka dengan doa dan kasih sayang.

Seronoknya menjadi guru apabila kita dapat merasakan kasih syang yang mengalir tatkala ana jua merasakan kasih sayang mereka terhadap ana.

Cuti Rehat Khas (CRK) masih berbaki 2 hari lagi. Namun, tidak sanggup rasanya meninggalkan mereka lebih-lebih lagi SPM hampir tiba. Ingin bersama-sama mereka menempuhi cabaran SPM.

Seronok memberi kata-kata perangsang. Dari mata dan senyuman anak-anak. Mereka nampak puas dan gembira. Walaupun, mereka tidak perform sangat dalam subjek English. Cukup bagi ana apabila merasakan mereka tidak patah semangat. Walk up again!

Seronok memberi cinta walau penat dan letih. Melihat mereka bersungguh-sungguh datang menadah ilmu dengan teachernya yang tidak seberapa ini.. Sangat terharu. Menyemarakkan kasih dan sayang di antara kami.

Hikmah bersama anak-anak didik kini. Ana terima mereka seadanya.

Mereka ... Mengajar ana tentang sabar, kasih sayang, empati, tegas dan lembut. Bekalan buat ana memperbaiki diri yang khilaf ini.

Ana sedar perjuangan masih jauh lagi. Cabaran berbagai sentiasa menanti. Akan ada lagi lembaran baru yang akan ana tempuhi masa-masa akan datang. Moga Allah SWT akan sentiasa mengurniakan hikmah dan tarbiyyah yang istimewa menemani diri ini kelak. Hanya Allah SWT tempat ana bersandar dan bergantung harap untuk mendapatkan yang TERBAIK. InshaAllah

Mencintai & menyayangi anak-anak murid sebenarnya sangat menguntungkan. Ana merasakan makin menginginkan cinta Kekasih Agung.. Allah SWT.
SUBHANA ALLAH...

Ya Allah...
Siapalah diri ini di sisiMU
Engkau Maha Membolak-balikkan
hati-hati hambaMU
Yang Engkau kehendaki
Diri ini benar-benar takut
Andai..
Nikmat-nikmat manis iman
Yang Pernah
Yang Sedang
Yang Akan
Kami kecapi
Engkau tarik kembali
Bila-bila kami terlupa akanMU
Bantu Kami Ya Allah
Untuk terus beristiqamah dalam ketaatan
Dalam kasih sayang
Penuhkan piala hati kami ini dengan sifat kasih sayang dan cinta
Kami amat mendahagakannya
Ya Rahman Ya Rahman
Bantu kami Ya Allah......

Friday, October 29, 2010

Suara Hati TIDAK!

Setelah 2 hari berlalu tanpa mengemaskini entri terdahulu. Seperti biasa, ana meninjau artikel saifulislam, tulisan Ust. Hasrizal. Ana yakin akan sentiasa ada isu-isu yang menarik perhatian. Malah membuka pemikiran ini.

Kali ini..

Ana melahirkan kebimbangan dan ketakutan.

Apabila kerajaan di bawah pimpinan Dato' Seri Najib Tun Razak mencanangkan kelab-kelab hiburan diperbanyakkan dan dibangunkan secara intensif.

Laporan Malaysiakini bertarikh 26 Oktober 2010 menyebut seperti berikut:

Pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mahu menjadikan Malaysia sebuah hab pusat hiburan malam bagi memacu industri pelancongan mengikut Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Ini akan dilaksanakan dengan penubuhan beberapa kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan “mempakejkan” semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.

Menurut perancangan ETP yang dikeluarkan semalam, ia adalah sebahagian daripada 12 projek permulaan (EPP) yang bertujuan memperkasakan sektor pelancongan agar ketibaan pelancong dapat dipertingkatkan.

Langkah itu dijangka mendapat bantahan golongan konservatif agama yang sebelum ini telah berulang-kali berdemonstrasi membantah kehadiran penghibur antarabangsa. Sasaran terbaru mereka adalah bintang sensasi Amerika – Adam Lambert yang seorang ‘gay’.
foto: Malaysiakini.Com

Satu daripada 12 EPP itu adalah melonggarkan syarat ketat bagi penganjuran konsert dan majlis antarabangsa, yang sekarang ini dikatakan banyak menghindarkan penghibur antarabangsa ke negara ini.

Mulai suku terakhir 2010, acara antarabangsa yang menampilkan penghibur antarabangsa yang memenuhi tiga kriteria minimum dikecualikan daripada tertakluk kepada syarat-syarat ketat Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal).

Kriteria berkenaan adalah:
* Penarafan kelas A berasaskan pada kedudukan 100 teratas carta Billboard sejak lima tahun 
   yang lalu;
* Menarik 2,500 penonton bagi setiap acara; dan
* Telah membuat pertunjukan di tiga tempat antarabangsa.

Selain mematuhi syarat Puspal, mereka bakal tertakluk kepada “garis panduan yang lebih fleksibel”, pelepasan cukai, perlonggaran daripada imigresen untuk menjadikan Malaysia hub majlis acara antarabangsa.

Untuk meminda garis panduan Puspal, seperti yang dicadangkan, jawatankuasa Puspal akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain yang terlibat (majlis tempatan, Jabatan Imigresen, dan Kementerian Kewangan). Kementerian Pelancongan akan memantau dan menjejak proses pelaksanaan.
foto: Malaysiakini.Com

Jumlah pelaburan yang diperlukan adalah RM467 juta dan akan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan. Kerajaan menjangkakan ia akan memberi pendapatan negara kasar sebanyak RM427 juta dan mewujudkan sebanyak 8,000 peluang pekerjaan.

Lebih mengejutkan lagi EPP juga mencadangkan penubuhan zon hiburan di Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang, Genting Highlands, Pulau Pinang, Langkawi dan Kota Kinabalu bagi menggandakan pendapatan hiburan malam Malaysia kepada RM1.8 bilion menjelang 2020.
Langkah itu akan menyaksikan penubuhan enam kelab malam baru yang mampu menampung kehadiran 900 pengunjung pada hujung minggu menjelang awal 2012. Dua lagi akan beroperasi pada 2013 dan 2014.

“Menjelang 2014, akan terdapat sekurang-kurang 10 kelab malam di zon hiburan. Ini akan menghasilkan impak pendapatan kasar negara RM0.7 bilion dan mewujudknan 5,614 pekerjaan baru menjelang 2020,” petik laporan itu.

Bagi mencapai hasrat itu, liberalisasi beberapa peraturan hiburan akan dilaksanakan, termasuk membenarkan pelanjutan had waktu beroperasi bagi pusat hiburan

Kawasan hiburan yang sedia ada dikatakan tidak memadai untuk mencapai pertumbuhan yang diharapkan memandangkan purata kadar penghunian hujung minggu bagi kelab malam di bandar adalah sebanyak 85 hingga 90 peratus.

Menerusi kerjasama dengan Greater KL/KV NKEA, dipersetujui bahawa lokasi berpotensi bagi kawasan hiburan baharu ialah kawasan di sekitar Central Market.

Kawasan ini akan direkabentuk untuk menarik pelancong dengan kemudahan 24 jam, keselamatan awam yang mencukupi, pengangkutan dan infrastruktur, tetapi ia akan kekal terpisah dari kawasan kediaman dan keagamaan.

Reaksi
Ana amat berasa bimbang dan kecewa.
Suatu musibah yang jarang kita sedari tatkala kita seperti tidak tahu lagi membezakan  di antara maaruf dan mungkar.

Jelas, membuka kelab-kelab hiburan ini membawa lebih banyak kemungkaran daripada kebaikan.

1. Lebih ramai umat islam cintakan hiburan bersifat hedonism.
2. Umat yang makin menghalalkan apa yang haram.
3. Umat manusia yang semakin ramai  biasa bergelumang hidup dengan kemungkaran.
4. Ajukan "biasalah tu". Diri terdokrin untuk tidak pedulisme dengan pegangan hidup.

Ya, kita semakin kerap mengajuk "biasalah tu" tatkala terserempak dengan pasangan bukan mahram sedang bercumbu-cumbuan. pasangan berkahwin gara-gara zina atau khalwat sesama mereka. "biasalah tu, mana ada orang yang iman tahap Nabi zaman sekarang ni".

Orang berjudi dan menang besar "biasalah tu, dia dah biasa dengan judi. Biasalah tu".

Orang tak solat "biasalah tu, ibu bapa dia tak solat. Padanlah tak tahu solat. Biasalah tu."
Dan banyak lagi perkara mungkar yang jelas mungkar.. kita semakin tidak hairan dan makin melazimkan "biasalah tu" sehingga kita menjadi semakin terbius dengan perkara kebenaran.

Kita buta kepada kebenaran.

Kita tidak lagi cuba untuk menegakkan kebenaran kerana kita sudah semakin terbiasa dengan kemaksiatan dan dosa. Kebaikan dan nilai-nilai akhlak yang baik pula semakin terasing dan terhakis. Malah, masihkah kita ingat?

Sindrom biasalah tu menjadikan kita semakin lupa kepada Allah. Tidak peduli lagi dengan agama. Apa tidaknya, maksiat dipandang enteng, manakala yang baik-baik pula makin sukar dilakukan. Kita semakin sukar berbuat baik.

Ada pula yang hairan dan berasa pelik. Melihat mereka yang masih teguh dengan ciri dan cara "Islam is a complete way of life", kononnya mereka ini ketinggalan zaman gara-gara masih berpegang dengan tali agama.

Itulah dia.

Liberalisasi mengambil tempat, agama makin merempat di segenap aspek kehidupan harian. Kita kehilangan deria rasa: sensitiviti dalam hidup beragama. Seperti semuanya sama sahaja. Tidak ada lagi halangan, sempadan yang membezakan antara dosa dan pahala.


Tiada Penafian: TIDAK Kepada Kelab-kelab Syaitan!

Ya.

Ana berasa sangat kecewa bagaimana pemimpin sanggup menodai maruah umat islam dengan mempertaruhkan sumber kewangan semata-mata untuk hiburan kepuasan dunia. Jana pendapatan haram yang jelas sumbernya haram!

Dengan tidak terkawalnya pelbagai musibah jenayah dan kejahatan penyakit sosial kini, pastinya memburukkan lagi keadaan anak-anak remaja kini.

Teringat ana dengan seorang pelajar di sekolah tempat mengajar. Selama 2 kali berturut-turut memeriksa skrip jawapan karangan bahasa inggerisnya. Khan (bukan nama sebenar) menulis tentang perubahan yang dia ingin lihat di sekolahnya. Mengejutkan! Dia mahu sekolah dijadikan pub. Dia melontarkan cadangan agar pelajar perempuan datang ke sekolah dengan berpakaian seksi. Malah, semua pelajar dikehendaki meminum alkohol/arak. Sesiapa yang gagal berbuat demikian, pasti akan didenda oleh pihak sekolah.

Jika ana tidak mengenali siapa Khan, pastilah ana bersangka baik dengan karangannya.

Benarlah. Tulisan kita mampu menterjemahkan fikiran kita yang sebenarnya.
Gambaran anak-anak remaja kini. Pemikiran yang semakin teracun dengan kedahsyatan liberalisasi.

Tiada lagi malu. Maka, perbuatlah apa saja yang semahunya nafsu mahu lakukan.

Cinta + Takut mati = Wahan

Pasti Najib sedar benar apa yang melanda anak-anak remaja kini. Pelbagai bencana sosial yang menuntut kerisauan kita.

Mengapa tergamak menggadai maruah dan aqidah agama sendiri?

Atas nama "cintakan dunia, takutkan mati". Itulah wahan. Penyakit yang mahu dielakkan sungguh-sungguh.

Al-Ibahiyyah.. seperti itulah yang dijelaskan oleh Saifulislam. Fenomena yang mengharuskan setiap kemaksiatan.

Suatu musibah yang dikhuatiri bakal membawa kepada rentetan bala yang seterusnya.

Jalan Pulang

Akhirnya, marilah kita sama-sama mengambil pengajaran dalam ayat 15 & 16 Surah Hud yang berbunyi

15."Barangsiapa mengkehendaki hidup di dunia dan perhiasannya, Kami sempurnakan pekerjaannya di dunia, sedang mereka tidak dirugikan"

16."Tetapi, tiada bagi mereka di akhirat, melainkan neraka. Dan hapuslah apa yang mereka kerjakan di dunia, dan binasalah apa yang mereka amalkan".

Ya Allah.. peliharalah kami daripada kejahatan tangan-tangan manusia yang mahu memadamkan cahaya Hidayah dan TaufiqMU
Kuatkan iman dan taqwa kami agar diri kami dapat berpegang teguh dengan agamaMU
Kuatkan semangat dan mujahadah kami menegakkan kebenaran dan amal soleh
Bantu kami Ya Allah
untuk berani mempertahankan kesucian agama ini
Cekalkan hati kami
Menghadapi apa saja kemungkinan
Berikan kami rahmat dan pertolonganMU
Agar kami tetap dalam perjuangan
Membersihkan
Membuktikan
Kebenaran & Keindahan
Islam
Dalam diri kami.

Tuesday, October 26, 2010

Dambaan Tulus

Hati bahagia malam ini.

Ada banyak perkara yang menggetarkan hati ini. Perlu sentiasa kekuatan untuk menghadapinya.

Mahu tips?

Bagaimana menghadapi ketakutan?

Hadapi ketakutan itu dengan hati yang benar-benar bersedia. Katakan, apapun yang berlaku, diri tetap akan bersangka baik dan mendoakan sentiasa yang terbaik.

Jangan pernah cuba mengelak atau melarikan diri.

Alhamdullillah, itulah yang ana lakukan setiap kali memasuki dunia maya Facebook. Kerana diri sentiasa hadir dan muncul, pergi dan mengundur diri dengan tangan kosong. Kecewa dengan diri.

Muhasabah diri kembali. Mungkin selama ini, ana seorang yang jarang mencurah cinta dan kasih, maka ana sendiri tidak mendapatnya. You get what you give. What goes around, comes around.

Alhamdullillah ana bersyukur dengan ujian ini. Ana terima "tempias" cinta Illahi ini dengan redha. Pada masa yang sama, ana juga memperbaiki diri.

Yeah, i am really into the process of mending inside of me. I really wanted to be the BEST of me.

Bahagia menyelubungi diri tatkala, ketakutan ana selama ini berjaya ditumpaskan.

 Takut? Mengapa?

Disebabkan dengan kedatangan dan pemergian ana dengan tidak memberi apa-apa kepada orang lain (tangan kosong). Akhirnya, ana melakukan sedikit perkara iaitu, sangka baik dan mendoakan kebaikan sesiapa jua yang ana temui di alam maya itu dengan kebaikan dan cinta buatnya. Ana bawakan dan tinggalkan dengan sedikit bekalan silaturahim dan ingatan tulus buat dirinya.

Buat sahabat dan adik-adik ana yang amat disayangi..

Diriku yang bernama Nurhaizah.. MENCINTAI DAN MENYAYANGIMU.

Kerana, inilah sekeping hati yang sentiasa cuba-cuba untuk menggapai cinta daripada Illahi.

Moga terus subur, tumbuh mengakar dan mencengkam kuat di segenap hati. InshaAllah

P/S: Buat Santi yang disayangi, bersabarlah. Tabahkan hatimu.  Pasti Allah SWT sedang membelaimu kini dengan curahan sedikit kesakitan dan kepayahan. Bersabarlah ya... Moga kesabaran dan ketabahanmu menghadapi ujian hidup ini akan dibalas dengan kebaikan yang tidak terhingga hanya KEBAIKAN milik ALLAH SWT.. InshaAllah

Sunday, October 24, 2010

Dedikasi Cinta Buat Aini

Selamat Pengantin Baru

Buat sahabat bernama Aini yang melangsungkan Majlis Pernikahan pada 23 Oktober 2010 yang lepas di Kediaman beliau di Tawau.

Semasa ana menulis entri ini, ana berada di Pitas. Di kejauhan ini, hanya doa dan utusan cinta buatnya sempat ana coretkan.

Izinkan ana bercerita sedikit tentang insan istimewa ini.

Aini, ana mula kenali awal tahun ini. Bulan Februari yang lepas ketika ana menghadiri Bengkel Perancangan Strategik di Pejabat ABIM Negeri. Ketika baru sampai di pejabat ABIM, beliau antara orang pertama yang terus menyapa ana "mesti kamu ni Haiza kan". Mengejutkan ana. Seketika dalam keadaan tersipu-sipu dan kalut menjejakkan kaki di sana. (kekalutan akan sentiasa melanda setiap kali berada di Pejabat ABIM - Lebih-lebih lagi kalau sudah lama tidak memunculkan diri).

Saat tangan kami berjabat, ukhuwwah ini terus terjalin dan ....

Indahnya Perancangan Allah SWT. Kami dipertemukan sekali lagi Mei lalu, dalam suatu program bernama Tamrin Qiyyadi di Kem RELA Tuaran.

Di situ, ukhuwwah kami dieratkan lagi setelah ana berbual agak lama dengan beliau, berkongsi sedikit cerita lama selama 3 hari 2 malam di sana. Sekaligus membedah sedikit siapa sebenarnya Aini disebalik dirinya sebagai Sekretariat ABIM Sabah.

Beliau merupakan seorang sahabat yang memiliki kepimpinan dan semangat yang tinggi. Dinamik, tegas dan tabah. Bakat dan potensi sebagai dai'e yang dimilikinya memberikan ana inspirasi untuk terus beristiqamah bekerja untuk agama.

Ana amat tertarik dengan sahsiah dan perwatakan beliau. Bersamanya, ana seperti mendapat semangat baru. Ana memperoleh suntikan untuk sentiasa berusaha memperbaiki diri. Berbicara dengannya, ana lapang dan tenang hati.

Beliau adalah antara salah seorang sahabat yang ingin sekali ana dampingi.

Moga beliau juga akan memperteguh istiqamah dan meneruskan tugas sebagai daie dalam lapangan mahligai rumahtangganya kelak.

Hanya doa ana titipkan buatnya, Mendoakan Setiap Kebaikan dan Yang Terbaik Buat Dirinya.

Moga kesejahteraan hidupnya akan sentiasa terpelihara. Buat dirinya yang kini berubah status menjadi seorang isteri kepada suami tercinta.

Buat Aini  &   Suami,

"Barakkallahu Lakuma

Wa Baraka 'alaikuma

Wa jamma'a baina kuma fii khoir"

Semoga kita dipertemukan kembali..

Sahabatmu,
Haiza.

Thursday, October 21, 2010

Air Mata Rindu

Terharu pada saat-saat ana memerlukan kekuatan untuk meluaskan minda, mempertajam intelektual. Menyubur kasih, menyemai cinta di hati. Mencari jalan ingin terbang segera. Menemui mereka yang disayangi. Merindui pertemuan dengan adik-adik usrah, peneman ana dalam gerakan dakwah di Kota Belud.

Teman seperjuangan

Mereka adalah Fiza, Mimi, Khalidah, Faizah dan Wawa.

Teman ana membantu gerakan dakwah menerusi jemaah di bawah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Mereka lah yang menyerikan suasana usrah selama ini. Iaitu sejak ana meninggalkan pengajian di UMS dan kembali ke Kota Belud, kampung halaman melaksanakan amanah sebagai daie.

Seorang demi seorang sahabat meninggalkan ana di sini.

Dulu berusrah hanya berdua dengan seorang teman.

Kini mereka hadir dalam hidup ana.

Mereka..

Sentiasa mengingatkan ana tentang usrah.

Membangunkan ana daripada lena dan alpa.

Membantu dan mempermudahkan banyak kerja-kerja sukarela di saat ana terdesak memerlukan.

Mengajar ana tentang kasih sayang, rindu dan cinta.

Dan, kini.. kami berjauhan. Ana di Pitas. Mereka pula sedang bertungkus lumus memperkaya persediaan untuk menghadapi peperiksaan STPM.

Semoga Allah mengurniakan kejayaan buat mereka dan sentiasa diberikan Taufiq untuk beristiqamah dalam gerakan ini.

Ana mencintai, Mengasihi merindui mereka. Ingin segera ketemu dengan mereka. Melepaskan kerinduan ini.

Semuanya kerana cinta kepadaNYA..

Wednesday, October 20, 2010

Hadiah daripada Kekasih

Memang, ana sukakan kritikan. Namun, tatkala menerimanya, terasa pedas sekali hati ini menerimanya. Kerana sifat kebenaran itu umpama ubat. Tidak begitu disukai, mentaliti kita ianya pahit. Tetapi itulah antara terapi penawar yang rata-rata berkesan.

Ucapan penghargaan terima kasih kepada sahabat di atas kesudian memberi input baru tentang penambahbaikan pengisian blog ini. Sungguh, moga Allah merahmatinya. Kritikan adalah rezeki daripada ALLAH SWT. Alhamdullillah. Syukran.

Dahulu

Ana bersyukur dengan Hidayah dan TaufiqNYA diberikan kesempatan untuk mengecap hidup bersyariat. Hidup bersaksikan Tuhan Pencipta Semesta Alam.

Aku bersaksi bahawa Tiada Tuhan Yang Layak DiSembah Melainkan Allah, Dan Aku Bersaksi Nabi Muhammad Pesuruh Allah SWT.

Sedikit transformasi dalam diri. Bukan untuk dibangga-banggakan, tapi disyukuri. Moga Allah SWT mengurniakan rahmatNYA agar diri hamba ini akan ditetapkan hati menikmati kemanisan dalam mentaati perintahNYA.

Ana menghitung, menghisab diri yang dulu. Memikirkan, apa lah ertinya hidup ini jika rahmat dan keberkatan Allah SWT tidak hadir dalam hari-hari sebagai hambaNYA. Ana mahukan syurga Allah yang penuh dengan kenikmatan, kesenangan, kebahagiaan. Suatu kenikmatan yang mustahil untuk diteroka oleh akal ini. Yang telah dijanjikan kenikmatan yang amat luar biasa lazatnya. Yang Tidak Pernah DILIHAT, DIRASA, DIDENGAR oleh pacaindera kita selama hayat di dunia ini.

Namun,

Serba Serbi dengan dosa & maksiat.

Kehinaan yang masih bersarang dalam diri.

Layakkah diri ini untuk Syurga Allah?


Hadiah Kekasih

Suatu perubahan yang dibuat umpama suatu pengorbanan yang tinggi. Umpama memberi benda yang paling berharga dan paling kita sayang kepada orang lain.

Ana jua merasa malu antara segan.

Ana punya pilihan? Pilihan untuk menidakkan kemahuan golakan jiwa untuk kembali kepada janji dan saksi termeterai di hadapan Pencipta? Suatu fitrah yang makin dilupakan. Sedangkan itulah jaminan bahagia hidup dunia. Bahkan paling indah untuk Akhirat, alamat mastautin kita kelak buat selama-lamanya.

Persaksian kita di hadapan Allah SWT. Menjunjung fitrah sebagai hamba Allah yang memegang sebagai title muslim beragama islam.

Teringat sedikit masa lalu. Apabila ana ingin sekali menutup kepala ini tatkala berada di dalam rumah. Kerana rumah ini seringkali di datangi mereka yang bukan muhrim ana, hati meronta-ronta untuk menutup aurat.

Perubahan itu sangat sukar untuk dilakukan. Berat tidak tertanggung di jiwa ini ketika itu. Rasa malu yang sangat menebal di hati. 

Keadaan ana sangat asing ketika itu. Tidak berteman. Tiada dikalangan saudara terdekat yang boleh ana menumpang kekuatan. La haula wala quwata illah billahil aziim. Ana lemah. Hanya Allah SWT sahaja yang memiliki kekuatan. Ana mohon diberi kekuatan.

Monolog dalam diri membina keberanian. Malu kerana pandangan manusia atau malu kerana dosa membuka aurat?

Ana memulakan dengan langkah kecil.

Ana memakai tuala. Agar tidak nampak ketara ana cuba-cuba menutup aurat. Dengan harapan memakai tuala itu, mereka disekeliling ana beranggapan ana sekadar mengeringkan rambut selepas baru membasahkannya.

Namun,

Di suatu malam semasa membuat persediaan perkahwinan akak ana, ana ditegur oleh seseorang.

"Hai Haiza, lebih baik kau pakai tudung ja. Rupa kau begitu (ana menutup kepala dengan tuala) macam orang membomoh aja".

 Lebih kurang begitulah bunyinya.

Takut. Cemas. Malu. Suatu perasaan yang memualkan. Meronta-ronta.

Nampak sangat keadaan ana ketika itu betul-betul dalam situasi memuncak. Perlu kekuatan tegar dan tegas untuk mempertahankan diri ini.

Samada, tanggalkan tuala ini dan kembali membuka hijab ini atau adakah terus menguatkan hati meneruskan perubahan ini?

Ana sebenarnya tidak ingin ketahuan bahawa ana melakukannya demi kerana Allah. Takut persepsi, Segan penerimaan orang lain terhadap ana. Kerana rasa terasing yang begitu mencengkam ketika itu.

Perlukah ditanggalkan saja hijab ini agar ana dapat memelihara persepsi mereka sebelum ini?

Kini, hamba Allah yang menegur sinis itu seolah-olah sudah dapat menangkap dan memahami mesej di sebalik tuala itu.

Sikit-sikit..

Lama-lama..

Ana mula memakai mini tudung di rumah. Selama ini mengelak dengan tuala. Fikir ana, tuala mampu menyembunyikan/ menggantikan sinonim tudung untuk menutup aurat.

Tidak terbendung jua kerana Kehendak Allah SWT.

Alhamdullillah. Kebahagiaan menerpa diri. Bahagia kerana diri ini membebaskan diri daripada dosa. Tiada lagi rasa bersalah, malu yang bersangatan. Allah gantikan dengan lapang dada. Perasaan yang sukar ana ungkapkan rasa penghargaan dan syukur kepada Allah SWT. Tatkala diri ini berserah diri.

Seterusnya..

Besar sekali cabarannya.

Satu persatu ujian Allah mengenai hamba ini.

Sentiasa diuji dengan setiap bicara yang ditabur. Dalam usrah. Ana banyak berkata-kata. Kata-kata itu jua menerbitkan banyak dugaannya. Ana boleh tumpas dan lemah. Alpa dan leka.

Mendirikan solat di awal waktu

Beristiqamah dengan solat sunat, membaca dan bertadabbur dengan Quran, Qiamullail..

Kadang-kala badan ini lemah dan letih jua. Ana diuji dengan kepenatan, rasa malas, di ganggu dengan "suatu keutamaan" yang tiba-tiba teringat di saat ketika berwirid dan berzikir. Padahal semua itu adalah tipu daya syaitan semata-mata.

Seperti mengatakan tetapi tidak juga melakukannya. Ana takut. Andai ini menjadi asbab ana tercampak ke neraka. Allahu Akbar! A'dzhubillahiminzailik

Pengajaran

Apa yang ana coretkan dalam entri kali ini hanya sebuah perkongsian tentang apa yang pernah diri ini alami apabila diuji dengan suatu ujian.

Ujian memilih untuk berhijrah.  Andai kalian kini dalam situasi dengan pilihan. Andai pilihan itu mungkin akan menerbitkan suatu perasaan yang tidak selesa dalam diri atau orang lain, namun pada suatu sudut lain, pilihan itu akan membawa kepada redha dan cinta Allah SWT, Jangan lengahkan lagi. Kuatkan hati dan berubah sedikit-sedikit untuk merealisasikan pilihan itu. 

Jika kalian memahami bahawa wanita bergelar muslimah wajib menutup aurat, maka pelihara lah hijab ini dengan hati yang redha.

Sanggupkah kita menanggung azab rambut dan kepala dibakar sehingga otak mendidih kepanasan akibat tidak menutup aurat?

Panas terik matahari jam 8 pagi mengenai kepala dan seluruh badan, kita seboleh-bolehnya mengelak daripada kepanasan, inikan pula rambut kepala dibakar sehingga mendidih. Tahankah kita?

Mengapa sanggup memperlihatkan rambut mengurai, tubuh badan ramping, leher jinjang, kecantikan keputihan kulit dipamerkan kepada mereka yang tidak layak dan berhak melihatnya? Mengapa kecantikan ini tidak disyukuri dengan ketaatan kepada Allah dengan menutupnya daripada pandangan-pandangan penyumbang dosa dan maksiat?

Taati apa yang telah diperintahkan. Jauhi apa yang dimurkai. Kembali kepada cara hidup islam yang sebenar. Perbaiki amalan dan aqidah. Suburkan kembali rasa cinta, rindu dan kasih kepada Allah SWT.

Percayalah.. perubahan yang dibuat semata-mata redha Allah SWT pasti akan membuahkan kebahagiaan dan kesenangan di hati. Pasti kepahitan menanggung ujian ini akan berakhir dengan kemanisan iman.

Moga rahmat Allah bertaut kepada mereka yang benar-benar ikhlas dalam ibadahnya. Mudah-mudahan Allah SWT menggolongkan kita dikalangan hambaNYA yang soleh.

Friday, October 15, 2010

Antara Belahan Jiwa Ini

Pada ketika
Diri ini sibuk memasang hajat
Mengintai-intai ruang dan peluang
Ketika itu jua
Dihujani dengan halangan

Bukan diriku tidak menghargai ikatan ukhuwwah suci ini
Bila ku fikir
Bila ku tolak
Bila ku campur
upah dunia ini tidak memadai
Seolah-olah tidak menyebelahiku

Silap diriku
Barangkali terlepas pandang
Menilai keutamaan
Mana yang perlu didahulukan
Sehingga setiap kali undangan wangian silaturrahim menerpa indah
Aku selalu hilang
Jauh dengan rasa kesal
Andai ikatan hati ini pudar
Sedikit masa
Sedangkan aku menyayanginya
Namun,
apakah benar aku mampu ketika ini?

Mereka
Adalah insan yang ku sayangi
Ya Rabbi
Ku yakin
Rasa cinta ini
Akan sampai jua kepada mereka
Menyentuh hati mereka dari jauh
Kerana ENGKAU yang memegang hati-hati kami
Satukan hati kami
Titipkan rasa kasih dan rindu di antara kami

Selagi hati ini tetap lurus di jalanMU

Aku mencintai mereka keranaMU
Semoga diriku
Beroleh cintaMU jua
Cinta mereka yang mencintaiMU
Tunjukkan aku kepada apa jua perkara
Yang membawa CintaMU

Kepada mereka
Aku memohon ampun dan maaf
Aku di antara sahabatmu
Yang tidak dapat menerbitkan
Menzahirkan
Mengekspresikan
tuntutan buat mekar mewangi ikatan kita

Biar..
Walau apa pun
Dirimu akan tetap segar dalam doaku
Moga kita akan dipertemukan kelak
Dalam suasana
Mengikut apa yang TERBAIK
Yang diredhaiNYA
Yang tidak kita ketahui
Suatu takdir dan perancangan Maha Bijaksana
Tak terungkap
Dalam Luh Mahfuz
Moga kita tetap akan percaya

Ku luahkan isi hatiku
Demi suatu
Ekspresi cinta untukNYA..
Moga redha sentiasa mengiringi..



*Dedikasiku buat semua sahabat jemaah yang kucintai. Yang jauh di mata, namun di hati, mereka adalah antara sahabat yang ingin sekali diri ini dampingi. Wallahu'alam*