Saturday, August 21, 2010

Kebaikan VS Kezaliman

  Pengisian usrah minggu lepas masih segar dalam ingatan ini sesegar pengetahuan baru, pemahaman baru tentang dua perkara: Kebaikan VS Kezaliman. Usrah hari itu bercerita tentang ayat 5 hingga 9, Surah As Saff. Ayat sebelumnya terlebih dahulu sudah dibentangkan. "Yang dikatakan golongan yang zalim itu apabila mereka sengaja mencampakkan diri mereka ke neraka Allah SWT". Demikian antara ungkapan daripada pembentang, Cikgu Milus yang sengaja ana pilih untuk memberi pengisian.

Sengaja ke Neraka

Sungguh, apabila ana membelek dan memerhati terjemahan ayat-ayat Quran, Allah SWT banyak mengulangi tentang golongan yang zalim, iaitu golongan yang mendustakan kebenaran islam. Namun, pemahaman ana  sebelum ini hanya setakat sampai "orang-orang yang tidak mahu menerima dan sombong menerima kebenaran, sengaja memadamkan cahaya yang Allah berikan." Tetapi, betapa malang sekali mereka! Hakikatnya, inilah golongan yang dikatakan menempah tiket menikmati azab neraka yang pastinya dahsyat tak tertanggung. Naudzubillah.

Asingkah?

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah saw,

“Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali asing pula.  Maka...beruntunglah orang­-orang yang asing”.
                                                                                                                              (Hadis Riwayat Muslim)
Tersentak sekali lagi. Kali ini apabila dikatakan kebaikan menjadi sesuatu yang asing di kalangan kita. "Eh, pelik lah kau ni haiza, hari ahad pun pakai baju kurung". "Wah, kau ni alim betul. Siap pakai stokin lagi!"Antara respon kawan-kawan ketika kami ketemu untuk reunion hari itu. Sedikit sebanyak terbit rasa malu ana dengan serpaan begitu. Berteka teki, ana malu kerana berpakaian begitu atau malu kerana banyaknya dosa dan maksiat ana, tapi berpakaian yang sedemikian pula? Malu kerana Allah atau malu kerana Manusia?

  Itulah antara sedikit contoh betapa perkara yang dianggap kecil lagi enteng bagi orang lain nampak sangat pelik dan luarbiasa. Tidak biasa. Jarang-jarang, kadang-kadang. Ana yakin, banyak lagi perkara yang baik dan cantik tetapi menjadi sesuatu yang asing dikalangan kita semua. Solat di masjid, menutup aurat, malah ana pernah digelar sebagai "arqam" apabila ana mengambil keputusan untuk melabuhkan sedikit baju T-Shirt dengan memakai baju muslimah. Sedih, terkejut pada mulanya. Tetapi,  Alhamdullilah Allah melapangkan hati ana menerima ujian ini.

  Lagi, kita akan mengatakan "biasa la tu" acapkali ternampak, terdengar sesuatu tentang hal-hal tercela. Pasangan sedang berdating, buang bayi, judi, rokok, zina dan pelbagai kebejatan maksiat dan dosa. Kita tak lagi hairan menyaksikan bermaharajalelanya kemungkaran, malah lebih teruk  kita sendiri yang menjadi watak dan pelakonnya.

Adakah masih ada secebis selemah-lemah iman kita membenci semua ini di hati sanubari?

Apakah yang sepatutnya menjadi biasa dan pelik/asing bagi kita?


 

 


No comments:

Post a Comment