Saturday, April 2, 2011

As-Sajdah: Ku harap Namaku Diseru Kelak

Alhamdullillah.. segalanya syukur kepada Maha Perkasa Allah SWT kerana diizinkan kami berkumpul seramai 12 orang dalam usrah ABIM Kota Belud kali ini.

Sekali lagi Allah SWT memberi kejutan buat ana. Kehadiran yang menggembirakan, jika sebelum ini dengan bilangan 4 hingga 6 orang. Alhamdullillah..

Perbincangan kali ini mengenai Surah As Sajdah, surah ke-32, bermula ayat 10 hingga 17, tatkala ana terkesan dengan firmannya dalam ayat 12:

Dan jika sekiranya engkau lihat ketika orang-orang berdosa menundukkan kepalanya di sisi Tuhannya, lalu berkata: Ya Tuhan kami, kami telah lihat dan kami telah dengar (seksa yang kami mungkiri), sebab itu kembalikanlah kami (ke atas dunia), supaya kami kerjakan amalan soleh, sungguh kami yakin, (nescaya engkau lihatlah kejadian yang hebat).

Menceritakan fenomena yang berlaku di hari pembalasan kelak. Bagaimana orang-orang yang mendustakan kebenaran, pernah dulu berpaling daripada cara hidup islam semasa hayatnya di dunia. Tiba hari pembalasan, merayu-rayu kepada Allah SWT agar dikembalikan ke dunia dengan janji untuk beramal soleh.

Bagaimanapun,

Di sinilah Allah menempelak golongan ini, sambil mengingatkan kita semua dalam surah Al Anaam ayat  28 berbunyi:

"Bahkan, nyatalah bagi mereka apa-apa yang mereka sembunyikan masa dahulu. Jika sekiranya mereka dikembalikan (ke atas dunia), nescaya mereka akan kembali mengerjakan apa yang dilarang dan sesungguhnya mereka itu dusta belaka."

Ana berfikir sejenak tentang dambaan kita kepada hidayah dan taufik daripada Allah SWT. Kerana dengan cahaya keimananlah, kita dapat mengecapi kebahagiaan sebenar. Mengenal siapa Allah..

Sedangkan golongan kafir yang tidak dilapangkan dada mereka dengan kebenaran islam, tidak memiliki apa jua kekuatan untuk menyelamatkan diri. Inikan pula, kononnya mereka akan mempraktikkan islam dalam hayat andai dikembalikan ke dunia semula. Padahal, Allah jualah Maha Mengetahui apa yang terkandung dalam hati setiap hambaNYA.

Maka, firman Allah lagi dalam ayat seterusnya, ayat 14,

"Sebab itu, rasailah olehmu (seksa itu), kerana kamu telah melupakan pertemuan hari ini, sesungguhnya kami telah melupakan kamu pula, dan rasailah olehmu seksa yang kekal, kerana (dosa) yang telah kamu kerjakan."


Wahai para pembaca yang dirahmati Allah SWT,

Bagaimana agaknya perasaan kita jika dalam sehari itu, pasangan kita langsung tidak bertegur sapa dengan kita?

Sahabat baik kita baru melangsungkan majlis pernikahannya, namun kita langsung tidak dimaklumkan?

Kita mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan, namun.. tidak ada seorangpun yang datang mengucapkan ucapan tahniah buat kita?

Apakah perasaannya jika merasakan diri kita semakin luput dan dilupakan?

Menanggung azab di neraka, tiada lagi syafaat datang membantu. Bahkan penghuni neraka itu rupa-rupanya langsung dilupakan.. Tiada siapa bertanya di mana mereka berada. Apa khabar mereka? Maka, tinggallah bersendirian selama-lamanya di sana dengan ditemani azab pedih silih berganti tidak pernah terhenti..

Akhirnya.......

Pulanglah kepada Allah SWT dengan jalan taubat. Mohonlah agar hati-hati kita semua akan Allah tetapkan dalam kebenaran islam. Sesungguhnya, Allah SWT Maha membolak-balikkan hati hamba-hambaNYA, namun InshaAllah.. selagi mana ketika sentiasa bermujahadah untuk terus konsisten @ istiqamah dengan kebaikan, pasti Allah SWT sentiasa menambahkan hidayah dan taufiqNYA.

Moga dirimu sentiasa dalam perlindunganNYA, sayang...


***********************************************************************************

No comments:

Post a Comment