Sunday, June 3, 2012

Yes, Bulatan Gembira!


Assalamu’alaikum wbt..

Apa khabar imanmu wahai sahabatku?

SubhanaAllah.. Alhamdullillah.. ana menghadiri majlis ilmu <Usrah> rabu yang lalu. Hari yang sungguh-sungguh benar memuhasabahkan hati ini di tengah-tengah ribut didalamnya. MasyaAllah, masalah hati dan perasaan yang mengekang sebelum ini terasa lapang. Menghadiahkan ana kekuatan, sikap dan pendekatan baru untuk berdepan dengan cabaran, masalah yang menyelubungi dan menanti di hadapan. 

Alhamdulillah.. Alhamdullillah.. Alhamdullillah..

Usrah hari ini mengupas Tafsir Quran iaitu Surah At-Takathur, yang bermaksud berlumba-lumba. Surah ini mempunyai 8 ayat dan merupakan surah Makiyyah. Alhamdullillah ana diberi peluang untuk membentang sedikit perkongsian kali ini.

Apa yang menarik hati ana ialah kata-kata daripada Syed Qutb “kehidupan dunia yang sekilas itu berakhir dan menutup lembaran yang pendek. Dan selepas itu, zaman terus melanjut bersama bebanannya yang bertambah berat.”

Demi Masa! Allah Bersumpah. Masa kita panjang atau pendek? Umpamanya menunggu sesuatu atau seseorang. Seringkali kita mendengar, penantian itu suatu penyeksaan. Mengapa? Apa yang dinantikan itu lama benar bukan?

Atau bagaimana pula dengan saat-saat yang menggembirakan? Dirasakan seolah-olah begitu cepat penghujungnya tiba, setuju?

Seandainya masa boleh ditahan-tahan, dirunding atau diundur kembali, akibatnya kita mungkin menjadi manusia yang sentiasa bermimpi, tidak realistik dan hidup serba-serbi terpedaya dan alpa.

Berbalik kepada Surah ini, ayat 1 dimulakan dengan peringatan terus daripada Allah SWT “Kamu telah dilalaikan oleh perlumbaan (membanyak harta benda dan anak-anak)” dan seterusnya ayat 2 “Sehingga kamu masuk ke dalam kubur.” 

Ibnu Kathir menyebut “Kamu telah dilekakan dan disibukkan oleh kecintaan terhadap kemewahan kehidupan dunia daripada membuat persediaan untuk menghadapi alam akhirat.  Kealpaan itu begitu ketara sehingga kamu diterpa oleh kematian secara mengejut dan di luar jangkaan kamu, lalu kamu datang mengunjungi kubur dan tinggal disitu dalam jangka masa yang ditentukan.”

Perbincangan hari itu benar-benar mengetuk  hati dan minda kami yang berada dalam bulatan majlis ilmu. Betapa meneruskan kehidupan dalam zaman yang penuh dengan kebejatan di sebalik kenikmatan ini sebegitu mudah melalaikan, menggelincirkan niat ikhlas, matlamat dan kesedaran serta ingatan kepada Allah SWT.

Kebetulan, beberapa anak-anak muda remaja mengikuti usrah kali ini. Apabila ditanya apakah cinta dunia? Mereka belum dapat menghadamnya secara matang lagi.

Cinta dunia, ana menganalogikan dengan  gadget seperti handphone. Contohnya dalam sehari itu, anda tidak memegang handphone, adakah anda akan mencarinya?

Bagaimana pula dalam sehari itu, adakah sekali terlintas di fikiran mencari Allah SWT?

Maka di sini, mari kita renungkan.

Antara handphone dan Allah, Yang mana satu kecenderungan kita paling utama?

Adakah handphone lebih kita sayangi daripada Allah SWT?

Itu hanyalah analogi yang barangkali kecil impaknya, dan tidak begitu berkesan untuk kita meletakkan cinta kita DUNIA VS AKHIRAT.

Bagaimana pula dengan golongan yang begitu asyik mencari menambah harta, pangkat, material berbentuk kereta, rumah, perhiasan, perabot, kecantikan fizikal, serta anak-anak dan keluarga. Begitu asyik sehingga hidup seolah-olah hilang arah tuju yang sebenar. 

APAKAH KEUTAMAAN KITA DALAM KEHIDUPAN SEHARIAN? 

~Mengecapi hidup dengan redha Allah- 

Kebimbangan menerjah, apabila hati dibelenggu dengan cinta kepada pesona fatamorgana dunia, kita khuatir Allah SWT akan mengisinya dengan kelalaian, kealpaan, lupa dan kesesatan.

Nikmat Hidayah diragut, ditarik dan dicampak kemudian digantikan dengan nikmat kebejatan seperti pelbagai penyakit hati: takbur, kedekut, sombong dan macam-macam sifat mazmumah.

Bayangkan sahabatku, seandainya hayat kita di dunia ini digunakan dengan hal-hal yang sia-sia, dan dalam sekelip mata ajal menjemput kita, bagaimanakah agaknya kesudahan kita?

Begitulah barangkali (pemahaman ana) tentang apa yang dinukilkan oleh Syed Qutb, begitu singkat kita menghirup udara di dunia ini, tetapi kesudahan buruk dengan memikul pelbagai azab berat dan dahsyat yang begitu lama dan mungkin selama-lamanya di perkampungan neraka kelak dek kerana alpa mentaati perintah Allah SWT semasa talian hayat dimiliki di dunia.

Dunia yang diibaratkan permainan dan senda-gurau ini terlalu halus pedayanya. Dunia adalah penjara bagi orang-orang mukmin. Betapa setiap langkah dan keputusan benar-benar umpama menempuh jalan berduri. 

Ana amat takut dan bimbang dengan kesudahan diri ini. 

Dalam ayat 3 & 4, “Janganlah begitu, kelak kamu akan mengetahui.” Ayat 5 “Janganlah begitu, jika kamu mengetahui dengan pengetahuan yang yakin.” Dalam ayat ini, Allah SWT mengulang ayat yang sama. Pengulangan berbentuk penegasan. 

Maksudnya, seandainya engkau mengetahui apa yang akan terjadi di hadapan kamu dengan pengetahuan yang sebenar nescaya tidak mungkin bagi kamu dilalaikan dengan bermegah-megah mengejar dunia ini. Justeru kamu akan berlumba-lumba dalam beramal soleh, namun kerana kamu tidak mengetahui dengan pengetahuan yang sebenarnya, akhirnya kalian terjerumus ke dalam  keadaan sedemikian.

Di sini, betapa pentingnya ilmu untuk kita sampai kepada YAKIN akan setiap kebesaran dan kekuasaan Allah SWT. Adanya dosa – pahala, syurga – neraka, azab, balasan yang baik, redha – murka Allah Swt. Dengan yakin, kita percaya dengan setiap amalan, tutur kata, niat, matlamat dan setiap perkara sentiasa diperhatikan dan dihisab.

Seterusnya ayat 6, “nescaya kamu benar-benar akan melihat neraka Jahiim.”  Ayat 7, “Dan sesungguhnya kamu benar-benar akan melihatnya dengan ‘ainul yaqin.”

Inilah kesudahan terakhir bagi mereka yang berterusan dengan kelekaan semasa di dunia akibat sibuk mencari harta dan pelbagai nikmat lain sehingga persediaan menuju akhirat dilupakan. Penangan azab neraka pasti dirasakan. Allah SWT akan memaparkan realiti sebenar apakah neraka itu, dan saat itulah penghuni syurga dan penghuni neraka akan melihat neraka yang sebenarnya sehingga saat itulah kita semua benar-benar yakin dan segala keraguan hilang serta-merta.

Sungguh beruntung golongan yang diselamatkan daripada azab neraka. Pastinya kurnia Allah SWT buat golongan yang beriman. Kita dahagakan di dunia lagi rahmatNYA buat kita menghirup kelegaan dan keselamatan di syurga kelak. MasyaAllah

Dan ayat terakhir, ayat 8 “Kemudian kamu pasti akan ditanyai pada hari itu tentang kenikmatan (yang kamu megah-megahkan di dunia itu)”. 

Maksudnya, pada hari kiamat kelak, Allah SWT akan bertanya kepada kita tentang setiap nikmat yang telah diberikan kepada kita semasa di dunia. Muda, sihat, masa lapang, harta, usia, aman, pancaindera dan sebegitu banyak nikmat yang tidak terhitung oleh akal kita. MasyaAllah…

Persoalannya: Apakah kita sentiasa mensyukuri setiap nikmat yang kita sedari dan tidak sedari ini?

Bagaimana kita mensyukuri nikmat ini wahai saudaraku?

Atau adakah nikmat ini kita telah menggunakan dengan sebaiknya atau kita bermaksiat kepada Allah?

Adakah kita terpedaya dengan nikmat tersebut dan tidak mensyukurinya sehingga Allah SWT mengazab kita di sana nanti?

Penyesalan dan Seandainya masa dapat diundur sentiasa kita laungkan barangkali selesai terlanjur melakukan kesilapan. Namun, realistik dan berpeganglah kepada tali agama dengan kuat. Kadang-kala kita mungkin tidak menyedari nafsu berjaya mengatasi kawalan iman dengan melakukan kesalahan atau keaiban. Mari, kita kembali kepada satu-satunya Zat yang sentiasa sudi menerima kita walau dalam keadaan paling hina dan kotor kita. Kita lazimi istighfar, zikir, solat taubat! Sungguh hidup memiliki Allah SWT sangat memberi makna dan harapan yang mendalam untuk terus hidup dengan kemaruk redhaNYA sentiasa.

No comments:

Post a Comment