Monday, November 22, 2010

Bersangka baiklah walau ia pahit

Hati dan minda benar-benar berkecamuk hari ini. Tatkala ana sedar bahawa terlalu banyak kelemahan dan kesilapan yang perlu dibetulkan.

Amanah yang dipikul sebagai daie', ana ingin lakukannya bukan kerana diamanahkan dengan jawatan semata-mata, tetapi biarlah lahir dari hati yang benar-benar mahu melakukannya kerana kecintaan yang tinggi kepada kebenaran, islam sebagai agama rahmat dan penuh dengan cinta kasih sayang.

Setiap kepahitan yang ditelan dengan rasa yang sangat menyeksakan jiwa, ana tahu ana perlu melakukan sesuatu: mencari bacaan yang tepat merawat jiwa, agar hati segera disegarkan kembali dengan ingatan dan taubat kepada Allah SWT.

Alhamdullillah.. ana mencari-cari artikel seorang sahabat dalam blognya. Bercerita tentang ahli asbab dan ahli tajrid serta bagaimana perbuatan zahir mampu mengubah suasana hati.

Perlunya pengharapan, tawakkal dan sandaran kepada Allah SWT dalam setiap pekerjaan. Bukan dengan menyandarkan usaha, kemampuan dan kelebihan yang menjadi asbab kepada kejayaan dan kebaikan yang kita peroleh.

Petikan http://www.kembaracintaku.wordpress.com/

Kalam Hikmat 1 yang dikeluarkan oleh Ibnu Athaillah memberi petunjuk mengenainya. Lihatlah kepada hati apabila kita terperosok ke dalam perbuatan maksiat atau dosa. Jika kesalahan yang demikian membuat kita berputus asa daripada rahmat dan pertolongan Allah s.w.t itu tandanya pergantungan kita kepada-Nya sangat lemah.

Firman-Nya:
“Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah melainkan kaum yang kafir ”.

                                                                           ( Ayat 87 : Surah Yusuf )

Ayat di atas menceritakan bahawa orang yang beriman kepada Allah s.w.t meletakkan pergantungan kepada-Nya walau dalam keadaan bagaimana sekali pun.

Pergantungan kepada Allah s.w.t membuat hati tidak berputus asa dalam menghadapi dugaan hidup. Kadang-kadang apa yang diingini, dirancangkan dan diusahakan tidak mendatangkan hasil yang diharapkan.

Kegagalan mendapatkan sesuatu yang diingini bukan bermakna tidak menerima pemberian Allah s.w.t.

Selagi seseorang itu beriman dan bergantung kepada-Nya selagi itulah Dia melimpahkan rahmat-Nya.

Kegagalan memperolehi apa yang dihajatkan bukan bermakna tidak mendapat rahmat Allah s.w.t.

Apa juga yang Allah s.w.t lakukan kepada orang yang beriman pasti terdapat rahmat-Nya, walaupun dalam soal tidak menyampaikan hajatnya.

Pujukan Diri

Hal inilah yang menjadikan diri ini semakin merasa beban yang berat didada. Kerana ana pernah merancang di awal tahun ini tentang hala tuju gerakan. Program yang hendak dijalankan. Bila dan berapa kekerapan.

Namun, perancangan ini tidak menjadi.

Begitulah pada pengamatan jiwa hina ana.

Terseksa dengan apa yang telah disampaikan dalam Surah As-Saff.

Sedih, kecewa dan marah pada diri.

Situasi ana tidak pernah berubah. Sentiasa dalam keadaan terpenjara dan terkunci.

Tolong, bebaskan ana daripada kekangan ini!

Sehingga ana membaca kata-kata yang dipetik seperti di atas. Memberi pujukan yang bermakna buat hati untuk terus memperbaiki diri.

Ana yakin dan tetap bersangka baik dengan ujian yang dihadapi ini.

Ingatan ana serta-merta kembali semasa berada di universiti dulu.

Tidak ada kenangan yang lebih manis melainkan bersama sahabat dalam angkatan jemaah bersama-sama dalam pelbagai suasana majlis ilmu dan gerakan.

Ana benar-benar rindukan suasana damai itu. Ana benar-benar ingin kembali menyertai mereka. Ana dambakan kembali kebersamaan itu.

Penat lelah, tekanan, gundah-gulana, tangisan, luahan hati ke hati adalah titipan memori yang cukup manis.

Nikmat kesibukan yang benar-benar meruntun ketabahan diri sehingga ana pernah hampir-hampir tidak dapat bertahan.

Dan..

Ana kini dalam situasi sedemikian.

Bezanya, golakan yang ana rasakan kini menggamit muhasabah penting buat semua bergelar daie'.

Bahawa segala penat lelah itu lebih manis dan besar ertinya dalam perjuangan bersama ukhuwah yang erat
daripada kepenatan yang dilalui secara begini...

Kepenatan mencari jalan-jalan keluar yang tidak bertamu.

Ana diibaratkan seperti kambing yang sudah diterkam oleh serigala.. hampir-hampir di hujung nyawa.

Seperti cahaya dikejauhan yang semakin sirna dan hilang

Umpama dahan-dahan kering yang menanti untuk jatuh

Menanti untuk rebah

Menunggu untuk gugur

Namun...

Ujian dan tarbiyyah ini. Ana terima dengan lapang dada

Tetap tidak mahu mengalah

Terus bangun dikala mahu jatuh

Kerana..

Allah satu-satunya tempat ana berharap

Siapa lagi yang mampu mengasihi diri ini

Menghulurkan kegembiraan

Mengetahui segala konflik dalam diri

Yang membela dikala ana menuduh diri sendiri

Yang membelai dikala inginkan belaian

Yang memujuk dikala hati ini menangis

Yang membisikkan bait-bait bahagia dikala hati meronta-ronta dengan kesedihan dan kekecewaan

Menguatkan semangat dan memberi kekuatan

Di saat ana lemah dan tidak berdaya

Tidak ada yang lain

Melainkan DIA..

Terima Kasih Ya Rabbi...

No comments:

Post a Comment